'Kekalkan Zahid untuk pastikan kapal UMNO tak tenggelam'

in Politik by

Saarani

KUALA LUMPUR – UMNO Perak menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikekalkan sebagai presiden parti itu bagi penggal akan datang untuk memastikan ‘kapal UMNO’ tidak tenggelam.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia kerana Pengerusi BN itu terbukti berjaya menyelamatkan parti hingga membentuk kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Menurutnya, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai kepentingan diri, sudah tentu beliau mengambil keputusan mudah dengan meletakkan jawatan dan bersara dari politik selepas BN kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Beliau boleh meninggalkan UMNO dalam keadaan terkontang-kanting tanpa pimpinan dan nakhoda tapi beliau ambil tanggungjawab sebagai pemimpin dan terus memimpin parti yang kalah.

“Beliau berusaha memastikan UMNO tidak tenggelam dalam arus politik mutakhir ini malahan berjaya membawa parti untuk bersama-sama menerajui kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan editor media tempatan sempena Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.

Menteri Besar Perak itu menjelaskan, tugas yang dilakukan Ahmad Zahid bukankah mudah kerana seluruh dunia memerhatikannya kerana walaupun dengan hanya 30 kerusi Parlimen, UMNO berjaya mengisi jawatan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri.

“Itu kebijaksanaan seorang ketua, pemimpin dan seorang pemimpin parti. Sebab itu kita menghormati beliau dan tidak memilih untuk mencari kelemahan dan kesilapan,” ulasnya.

Saarani memberitahu, beliau juga percaya Ahmad Zahid mempunyai perancangan beliau dalam terus memperkukuhkan parti termasuk melahirkan pelapis-pelapis pemimpin dalam parti.

Oleh itu, beliau berkata, walaupun dalam perlembagaan parti menyebut jawatan itu boleh dipertandingkan, namun lebih baik jika tiada ahli lain yang yang bertanding menentang Ahmad Zahid.

“Namun sama ada berlaku pertandingan atau tidak bagi jawatan ini, UMNO Perak akan memberi sokongan 100 peratus kepada Ahmad Zahid,” ujarnya.

Kata beliau, jika pertandingan bagi jawatan itu berlaku, ia dibimbangi akan membuka pintu perpecahan dalam UMNO kelak.

“Contohnya, kalau ada tiga penjuru, perpecahan boleh sampai ke cawangan sebab orang yang akan dipilih di peringkat cawangan akan ada tiga kumpulan juga.

“Yang kita bimbang dalam suasana sekarang kita baru habis pilihan raya jadi seeloknya berilah peluang kepada presiden parti untuk meneruskan khidmat beliau kerana dengan sokongan daripada 140 ketua UMNO bahagian, ia menunjukkan kekuatan beliau,” tegasnya.