KJ diserbu perwakilan Puteri

in Politik by

Khary Jamaluddin berswafoto dengan ahli UMNO ketika menghadirkan diri pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) disambut dengan sorakan oleh lebih 900 perwakilan Puteri yang bersidang pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2022.

Segak mengenakan kemeja batik berona merah, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau itu hadir bagi menyaksikan persidangan yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn pada Khamis.

Sejurus Pengerusi Tetap Sementara, Fadwah Anuwar mengumumkan ketibaan beliau, sebilangan Puteri UMNO dilihat menyerbu bekas Menteri Kesihatan itu sekali gus tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama.

Situasi itu menyebabkan Fadwah terpaksa meminta semua perwakilan untuk kembali ke tempat duduk masing-masing bagi meneruskan persidangan.

Khairy Jamaluddin sebelum ini secara jelas telah memberikan isyarat bahawa beliau akan bertanding mencabar kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden dalam pemilihan parti itu.

Kenyataan tersebut sedikit berbeza berbanding sebelum ini yang seakan berselindung apabila ditanya mengenai kemungkinan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu.

Beliau sebelum ini hanya memberikan respons agar semua pihak menunggu apa tindakan selanjutnya apabila diajukan soalan oleh pengamal media.

Sekiranya jawatan tersebut dipertandingkan, ia merupakan kali kedua Khairy Jamaluddin menawarkan diri bertanding bagi jawatan berkenaan selepas 2018.