Lelaki habiskan RM100,000 miliki kostum serigala

in Global by

Seorang lelaki memakai kostum serigala yang siap ditempah dari syarikat pereka model khas Jepun. – Agensi

NEW YORK – Seorang lelaki tidak dikenali menghabiskan sekurang-kurangnya AS$23,000 (RM100,00) demi kostum serigala semata-mata menunaikan impiannya menjadi haiwan karnivor itu.

Lelaki itu dilaporkan menghubungi Zeppet, sebuah syarikat pembuat model khas dari Jepun untuk mereka kostum serigala ultra-realistik berbulu kelabu.

“Kerana minat mendalam mengenai haiwan sejak kanak-kanak dan beberapa kostum haiwan yang muncul di televisyen, saya mengimpikan untuk menjadi seperti haiwan itu nanti,” katanya memberitahu Zeppet.

Tambahnya, syarikat tersebut mengambil masa 50 hari bagi menyiapkan kostum itu.

Kebiasaannya, Zeppet mereka figura dan pakaian untuk filem dan iklan televisyen telah mengkaji imej serigala sebenar dan memasukkan setiap perincian sebenar haiwan itu dalam kostum dikehendaki pelanggannya.

“Kami mereka kostum serigala untuk pesanan peribadi. Diinspirasikan spesies ‘timber wolf’ dari tenggara Kanada,” katanya.

Zeppet menambah, pelanggan tersebut memuji hasil kerja tangan buatan syarikatnya kerana merekanya seperti serigala hidup.

“Semasa mencuba kali terakhir, saya kagum dengan perubahan di hadapan cermin. Ia seperti impian menjadi kenyataan,” tambah lelaki itu. – Agensi