Lelaki maut motosikal langgar kereta

in Berita Semasa by

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Kilometer 88, Jalan Batu Pahat-Mersing pada Khamis.

KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Kilometer 88, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian pada jam 9.45 pagi itu melibatkan motosikal jenis SYM dan sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di persimpangan empat di mana mangsa datang dari arah Mersing, manakala kereta berkenaan pula dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian, motosikal mangsa tidak sempat mengelak kereta berkenaan yang masuk ke simpang kanan lalu melanggar bahagian pintu hadapan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa dikenali Izwan Karudin, 37, yang beralamat di Kahang di sini dan bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemandu kereta, Nurul Aless Farisha Samsudin, 23, beralamat di daerah ini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.