MPKL tingkat tahap pengurusan pusat kurungan anjing

in Edisi by

Semua haiwan yang ditangkap diberi makan dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.

KUALA LANGAT – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) meningkatkan tahap pengurusan di pusat kurungan anjing kendalian MPKL, Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP).

MPKL dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,153 ekor anjing ditangkap pada tahun lalu dan kebanyakannya berpenyakit, tidak terurus serta kurang nutrisi.

“Semua haiwan yang ditangkap itu dijaga di pusat kurungan dengan diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan petang,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, MPKL tidak mengambil remeh soal kebajikan haiwan ditangkap hasil maklumat daripada orang awam, malah makanan khas diberikan kepada anjing-anjing yang ditempatkan di tempat bersesuaian sepanjang berada dalam kurungan.

“Tempat kurungan tersebut turut dibersihkan secara berjadual bagi mencegah jangkitan kutu di kalangan haiwan di dalam pusat kurungan tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPKL turut menyambut baik kerjasama dan kesudian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk mengambil haiwan ditangkap untuk diletakkan di pusat perlindungan haiwan mereka.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 110 anjing telah diambil NGO terbabit pada 10 Januari lalu dan pihaknya turut menggalakkan orang awam yang tidak mahu lagi memelihara haiwan mereka untuk menghantar ke pusat perlindungan haiwan NGO berkenaan.

“MPKL menyeru orang awam agar tidak membiarkan anjing peliharaan itu terbiar di jalanan tetapi hantar kepada NGO yang berkaitan,” kata kenyataan itu.