PAU 2022: Pentas persidangan sayap-sayap ‘sejuk’

in Politik by

Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO yang berlangsung serentak di Pusat Dagangan Kuala Lumpur pada Khamis ‘sejuk’ tanpa adanya isu-isu panas atau luar biasa dibangkitkan. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

BAGAIKAN sudah dijangka, Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO yang berlangsung serentak di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis ‘sejuk’ tanpa adanya isu-isu panas atau luar biasa dibangkitkan.

Jangkaan perhimpunan tertinggi parti Melayu terbesar itu bakal panas susulan kekalahan teruk UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ternyata jauh meleset.

Jika ada yang dianggap panas sekali pun hanya membabitkan desakan supaya pengkhianat parti segera disingkir daripada terus membarah.

Laungan ‘No DAP, No Anwar’ yang dibangkitkan oleh sebahagian besar perwakilan yang mengambil tempat ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpuan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac tahun lalu juga langsung tidak kedengaran.

Ia dapat dilihat dengan kebanyakan ucapan dasar ketua-ketua sayap juga lebih menjurus kepada usaha untuk memberi penerangan kepada semua perwakilan yang hadir mengenai rasionalnya parti itu memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasarnya secara lantang menegaskan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 23 November 2022 wajar disokong sepenuhnya.

Menurutnya, pendirian tersebut bukan sahaja diambil bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan buat negara dan rakyat, tetapi turut mengambil kira kepentingan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendakap konsep perkongsian kuasa dengan pelbagai kaum namun tetap tegas mempertahankan sifat keindukan Melayu-Islam dan bumiputera.

Hal sama turut menjadi inti pati dalam ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Menjelaskan perkara itu, Zahida berkata, keputusan untuk menyertai PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan ia realiti yang perlu dihadapi.

Katanya, matlamat UMNO tidak lain adalah untuk mewujudkan kestabilan, di samping ingin memastikan kesengsaraan yang dihadapi rakyat susulan tekanan kos sara hidup yang tinggi ditangani segera.

Turut menyentuh isu sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang menegaskan partinya akur untuk bekerjasama dengan PH selepas tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Namun katanya, meskipun UMNO-BN menjadi sebahagian daripada kerajaan, parti itu perlu kekal mendasari intipati perjuangannya tetapi dengan strategi dan pendekatan yang berbeza.

Justeru, melihat kepada perkembangan Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO yang berlangsung selama dua hari ini, jelaslah ahli akar umbi perlu akur menerima keputusan, meskipun ada segelintir yang tidak bersetuju dengan keputusan yang ditetapkan pimpinan tertinggi itu.

Berbaki dua hari lagi, ramai pemerhati khususnya ahli akar umbi parti terbesar Melayu itu ingin melihat lebih banyak isu-isu berbangkit dijawab oleh pimpinan tertinggi parti.

Tumpuan esok pastinya terarah kepada PAU 2022 yang bakal membuka tirai dengan ucapan dasar presiden serta Persidangan Perhimpunan Agung Khas UMNO (Pindaan Perlembagaan) antara yang ditunggu-tunggu.