Pengajaran berguna buat Tze Yong

in Sukan by

Aksi Tze Yong pada pusingan keduaTerbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. – Foto Bernama

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong meraih pengajaran berguna selepas tumbang di tangan bintang Jepun, Kodai Naraoka dalam aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 pada Khamis.

Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-25 dunia terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 21-15, 19-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu.

“Ketika saya mendahului 19-15 di set kedua, memang dia bermain dengan baik dan bukannya saya yang melakukan kesilapan mudah.

“Saya fikir perlu bermain dalam banyak kejohanan untuk mengutip pengalaman. Ini adalah tahun pertama saya bermain dalam kejohanan utama jika dibandingkan dengan Naraoka.

“Jadi saya perlukan lebih banyak pengalaman bagi meningkatkan permainan dan melonjakkan ranking dunia saya,” kata Tze Yong ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Tze Yong menjadi pemain negara kedua menjadi ‘mangsa’ Naraoka pada Terbuka Malaysia kali ini.

Pada Rabu, jaguh profesional negara, Lee Zii Jia tewas 21-13, 17-21, 19-21 kepada Naraoka dalam aksi pusingan pertama.

Dengan kekalahan yang dialami Tze Yong dan Zii Jia, Malaysia tidak lagi mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas Liew Daren menarik diri ekoran masalah kecederaan betis kanan.