Pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon, kata peminat

in Sukan by

Permintaan peminat supaya kedudukan Pan-gon dipertahankan dilihat berasas berdasarkan komitmen diberikan jurulatih itu. – Foto Bernama

KIM Pan-gon menjadi tumpuan dan mula menambat hati sebahagian besar peminat bola sepak negara menerusi perubahan positif yang dibawa beliau dalam tempoh setahun sejak dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya pada Januari tahun lepas.

Kehadiran jurulatih dari Korea Selatan itu bersama pasukan kejurulatihannya mula menampakkan impak apabila Malaysia menempah slot ke Piala Asia 2023 pada Jun lepas sekali gus menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke kejohanan bola sepak tertinggi Asia itu.

Skuad Harimau Malaya bimbingannya berubah menjadi lebih tersusun, dinamik dan sentiasa dahagakan kemenangan berdepan pasukan lawan.

Perubahan itu menyatukan sokongan peminat yang kembali menaruh harapan untuk melihat kebangkitan pasukan negara.

Nama Pan-gon sekali lagi mencuri perhatian apabila pengendali berusia 53 tahun itu menggalas tugas membimbing Malaysia tanpa pemain utama mengharungi saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Peminat memberikan tumpuan terhadap taktikal dan pemilihan kesebelasan utamanya yang ada kalanya ‘luar biasa’ seperti memainkan pemain tengah Brendan Gan di bahagian pertahanan, namun peminat tetap memberikan sokongan.

Malaysia membuka kempen Piala AFF dengan dua kemenangan ke atas Myanmar dan Laos sebelum tumpas kepada Vietnam dalam perlawanan penuh kontroversi, ketika itu #PertahankanKepimpinanKimPanGon sudah banyak digunakan dan tular di media sosial.

Frasa ‘Pertahankan Kepimpinan Kim Pan Gon’ membawa maksud peminat mengajak semua pihak memberikan sokongan kepada Pan-gon dalam usaha memajukan pasukan negara.

Sokongan diberikan peminat dibalas Pan-gon dan barisan pemain negara apabila Malaysia mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B selepas menyingkirkan musuh tradisi Singapura 4-1 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejayaan itu tetap terpalit dengan isu skuad Malaysia A dan Malaysia B dengan pasukan negara ke Piala AFF lebih dirujuk sebagai Malaysia B, namun pemain menolak perbandingan itu dan peminat sekali lagi memberikan sokongan kepada Pan-gon.

Malaysia akhirnya tersingkir daripada Piala AFF apabila tewas agregat 1-3 kepada juara bertahan, Thailand di pentas separuh akhir selepas menang 1-0 di Stadium Nasional, Sabtu lepas, namun tumpas 0-3 di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Selasa lepas.

Sebahagian besar peminat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka terutama selepas Pan-gon tampil mempertahankan pemainnya apabila mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan meminta segala kritikan serta kecaman dihalakan kepadanya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, Pan-gon seorang jurulatih yang berusaha mengamalkan sikap profesional pada tahap tertinggi sepanjang masa di padang mahupun luar padang.

Beliau memilih untuk tidak bercakap soal individu barisan pemainnya di hadapan umum, kalah ataupun menang, selain konsisten berterima kasih kepada pemain dan peminat selepas perlawanan.

Dari segi perwatakannya, selain sering tampil optimis, beliau juga mudah tersenyum dan boleh berjenaka apabila pasukan negara mencatat kemenangan dan sugul serta bersikap sukar didekati apabila tewas.

Permintaan peminat supaya kedudukan Pan-gon dipertahankan dilihat berasas berdasarkan komitmen diberikan jurulatih itu.

Secara keseluruhan, Pan-gon mengumpul 11 kemenangan, empat tewas dan dua keputusan seri dalam kesemua pertandingan bersama pasukan negara dengan misi besar selepas ini membentuk skuad terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Qatar pada Januari 2024. – Bernama