Pihak terlibat dipanggil selesai isu kesesakan tol RFID

in Nasional by

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi)

SHAH ALAM – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengambil maklum berhubung isu kesesakan dan gangguan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurutnya dalam satu ciapan Twitter, semua pihak yang terlibat telah dipanggil bagi menyelesaikan isu tersebut.

Beliau mengetahui perkara tersebut setelah mendapat aduan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di akaun Twitternya yang dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Salam dan selamat pagi Loke. Saya sedar sepenuhnya tentang isu ini. Saya juga sudah memanggil semua pihak terlibat untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin,” katanya pada Khamis.

Abdul Rahman meluahkan rasa tidak puas hati mengenai masalah RFID yang menyebabkan gangguan lalu lintas sejak sekian lama.

“MyRFID ini sangat mengecewakan! Daripada membuat lalu lintas lancar, kecekapannya sangat tidak menentu sehingga anda tidak yakin untuk memandu ke lorong tersebut!

“Rakyat Malaysia bertolak ansur untuk beberapa bulan pertama bagi membenarkan percubaan dan kesilapan. Tetapi ini telah berlalu terlalu lama! Tolonglah Anthony Loke,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony menyatakan yang satu perbincangan akan diadakan dengan Nanta bagi memperhalusi hal tersebut.

Beliau berkata, ia kerana pengurusan mengenai perkara tersebut bukanlah berada di bawah tanggungjawabnya.

“Salam, RFID di plaza tol bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan. Ia di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan Nanta. Terima kasih atas maklum balas,” ujarnya.