Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah capai 73 peratus

in Edisi by

Shahelmey menyempurnakan sesi masuk pejabat di bangunan Kementerian Kerja Raya di Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Sebanyak 73 peratus pencapaian telah direkodkan bagi prestasi keseluruhan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang melibatkan 15 pakej di Sabah.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, daripada keseluruhan pakej berkenaan dua pakej telah siap dan boleh digunakan oleh pengguna jalan raya di negeri ini.

“Untuk Pan Borneo, saya telah dimaklumkan daripada 15 pakej yang sedang berjalan secara keseluruhannya prestasi yang telah dicapai sebanyak 73 peratus.

“Dua pakej telah siap dan boleh digunakan oleh pengguna iaitu pakej lima dan pakej 27 di Sandakan, Kinabatangan, manakala ada beberapa pakej lagi akan dijangka siap menjelang awal tahun depan.

“Seterusnya yang lain, mungkin penghujung 2024 untuk 15 pakej yang sedang berjalan, manakala satu lagi pakej sembilan sekarang dalam proses pemberian ataupun pelantikan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah ketika ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan ada 19 pakej lagi yang perlu dilaksanakan untuk pembinaan lebuh raya itu.

“Kita difahamkan bahawa kementerian kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tersebut melalui sukuk dan berharap kita akan dapat perkembangan lanjut dengan kerajaan Persekutuan agar baki pakej ini dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai masalah bekalan air yang melanda beberapa daerah, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan terdapat kerja penyelenggaraan dilakukan di Loji Rawatan Air (LRA) Moyog dan menyebabkan berlakunya gangguan air di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.

“Saya telah mendapat maklumat daripada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan memang bekalan air tidak mencukupi berbanding dengan kapasiti yang sedia ada.

“Dalam sehari dua ini kita mengalami gangguan bekalan air yang sangat ketara di sekitar Kota Kinabalu dan juga Putatan.

“Ini disebabkan kerja penyelenggaraan berkala telah dilakukan di loji Moyog dan ia telahpun siap, namun akan memakan sedikit masa beberapa hari untuk mendapatkan tekanan berkala itu pulih ke tahap sebelumnya,” katanya.