Ringgit naik ke paras tertinggi tempoh sembilan bulan

in Bisnes by

Gambar hiasanOPTIMISTIK yang semakin meningkat berhubung kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan terus menyumbang kepada ringgit untuk ditutup pada paras tertinggi sembilan bulan pada Khamis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan melonjak kepada 4.3570/3615 berbanding dolar AS, paras terakhir yang dapat dilihat pada awal Mei 2022, daripada 4.3700/3725 pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, keyakinan semakin meningkat untuk Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan sekali lagi kenaikan kadar daripada 50 mata asas kepada 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Februari ini.

“Tetapi, yang penting, prospek inflasi yang lebih baik meningkatkan kemungkinan Fed berhenti lebih awal sebelum terlambat dan meningkatkan kemungkinan menyederhanakan kelembapan ekonomi yang merupakan berita baik untuk saham.

“Oleh itu, aliran masuk pelaburan dijangka meningkat,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pengeksport juga dilihat menukar dolar AS berdasarkan jangkaan ringgit yang lebih kukuh sempena pemulihan ekonomi China yang berterusan selepas sekatan Covid-19.

“Ini menetapkan paras ujian pada 4.25 pada pertengahan tahun atau lebih awal, dan akhirnya mengembalikan paras ringgit kepada 4.20 menjelang akhir tahun,” katanya.

Semua pihak kini tertumpu pada data inflasi Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan lewat hari ini selepas Pengerusi Fed Jerome Powell gagal memberikan sebarang petunjuk baharu tentang hala dasar mereka semasa ucapannya di simposium Riksbank Sweden semalam.

Sementara itu, inflasi China kekal sederhana dengan indeks harga pengguna (CPI) naik sebanyak 1.8 peratus pada Disember berbanding tahun sebelumnya, meningkat daripada pertumbuhan 1.6 peratus pada November, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan.

Ia berkata, inflasi di China berada pada 2.0 peratus pada 2022, di bawah sasaran rasmi sekitar 3.0 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2764/2803 daripada 3.2820/2841 pada penutup semalam dan naik berbanding euro kepada 4.6890/6938 daripada 4.6938/6965 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia susut berbanding pound kepada 5.3033/3088 daripada 5.3017/3047 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3242/3281 daripada 3.2984/3007.- Bernama