Rumah jadi port bungkus dadah

in Berita Semasa by

Barangan yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rajawali Indah, dekat sini pada awal pagi Khamis.

ALOR SETAR – Dua lelaki warga tempatan dipercayai tokan dadah ditahan bersama dadah jenis heroin 357.35 gram dan 5.62 gram syabu bernilai RM13,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Rajawali Indah, dekat sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek berumur 40 tahun dan 43 tahun itu dipercayai menggunakan rumah itu untuk membungkus semula dadah sebelum diedarkan kepada penagih-penagih dadah tempatan.

Dalam serbuan jam 3 pagi tersebut, polis turut menemui satu peket plastik lut sinar besar dan empat peket plastik lut sinar kecil mengandungi dadah jenis heroin di lantai bilik rumah berkenaan.

“Polis merampas 357.35 gram dadah jenis heroin dan 5.62 gram syabu.

“Turut dirampas sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM660 yang dipercayai diperolehi hasil dari aktiviti pengedaran dadah.

“Jumlah rampasan dadah dan sitaan dianggarkan sebanyak RM15,000, ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin’,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Shukri berkata, kedua-dua suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan direman selama tujuh hari sehingga 18 Januari untuk membantu siasatan.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Bahagian III ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.