'Saya sudah boleh bayar tunggakan elektrik, air'

in Edisi Kelantan by

Laporan Sinar Harian mengenai kesukaran hidup Zulkefli dan Siti Rohajar pada 31 Disember lalu.

KOTA BHARU – “Terima kasih penderma, semoga mereka panjang umur dan murah rezeki,” kata Zulkefli Mat Husain yang menjaga anak orang kurang upaya, Siti Rohajar Abdullah.

Zulkefli, 54, berkata, wang yang disumbangkan itu sangat bererti kepada mereka dua beranak kerana banyak perkara dapat diselesaikan.

Menurutnya, sebahagian wang digunakan untuk melangsaikan bil elektrik dan bil air yang tertunggak sebanyak RM700.

Dia yang tinggal di Kampung Gatal, Kuala Krai juga lega kerana Siti Rohajar tidak perlu lagi membonceng motosikal dan membahayakan dirinya.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat membeli kereta terpakai yang memudahkan saya menghantar anak untuk rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Sebelum ini saya dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah yang menyediakan kos tambang kenderaan untuk membawa anak ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang OKU buta dan pekak berusia 22 tahun masih bergantung kepada bapa apabila tidak mampu berdikari sepenuhnya sejak enam tahun lalu.

Siti Rohajar disahkan mengalami kecacatan itu akibat komplikasi pelbagai jenis penyakit termasuk jantung dan buah pinggang yang memaksanya berhenti sekolah ketika Darjah Enam.

Selepas ibunya, Che Rosmawati Che Man meninggal dunia pada 2005 akibat penyakit tibi, tugas menjaga Siti Rohajar diambil sepenuhnya oleh Zulkefli.

Dua beranak itu juga bergantung kepada ihsan penduduk kerana Zulkefli hanya bekerja kampung sejak keadaan Siti Rohajar semakin serius sehingga mengakibatkan buta pada usia 14 tahun.

Ketika ditanya persediaannya menyambut Ramadan awal Mac depan, Zukefli memberitahu rutinnya seperti biasa iaitu memasak untuk berbuka dan sahur bersama anaknya.

Lebih menggembirakan katanya, ada individu yang menghubunginya untuk menghadiahkan pakaian hari raya.

“Syukur alhamdulillah, kehidupan kami kini lebih baik,” katanya.