Sultan Terengganu berkenan terima menghadap PM

in Nasional by

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Istana Syarqiyyah selepas beliau menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Khamis. – Foto Bernama

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Syarqiyyah di sini pada Khamis.

Kenderaan Proton Perdana yang membawa Anwar dilihat masuk ke perkarangan Istana Syarqiyyah pada jam 10.27 pagi dan meninggalkan istana kira-kira sejam kemudian.

Sesi menghadap Sultan Mizan itu yang pertama buat Anwar, sejak Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara, selepas pelantikan beliau diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selepas sesi menghadap itu, Anwar dijadual mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – Bernama