Suspek ambil upah simbah cat, baling molotov cocktail ditahan

in Berita Semasa by

Dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada Selasa kerana terlibat mengambil upah daripada along untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini. – Gambar hiasan

KULAI – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada Selasa kerana terlibat mengambil upah daripada along untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan tiga serbuan berasingan dan menahan tiga suspek warga tempatan.

“Menerusi tiga serbuan antara jam 9 pagi hingga 2.30 petang kelmarin, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun serta seorang wanita berusia 43 tahun ditahan sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

“Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan kerana terlibat kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.

“Hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah ini dengan bayaran RM1,300.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” ujar beliau.

Menurut Beng Yeow, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman enam hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.