Tandatangan SD sokong Muhyiddin bukan khianat BN – Jalaluddin

in Politik by

Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyangkal tuduhan kononnya tindakannya dan sembilan lagi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai mengkhianati parti.

Jalaluddin berkata, selepas UMNO dan BN memutuskan pendirian terakhir untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesemua mereka akur dengan terus menarik balik SD tersebut.

Malah, katanya, keputusan awal mereka untuk menandatangani SD adalah selaras dengan naratif parti pada ketika itu.

“Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti. Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.

“Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas tiket BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Sayap-Sayap UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mendedahkan 10 ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri membuat pendedahan berkenaan ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Jalaluddin menegaskan, beliau dan sembilan ahli Parlimen berkenaan hanya boleh dianggap mengkhianati dan membelakangkan parti sekiranya tetap kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas UMNO dan BN sudah memutuskan menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak nampak sudut negatif dalam ucapan Presiden atau Timbalan Presiden. Kita kena teliti apa isi ucapannya, iaitu UMNO kena bergerak ke hadapan dengan satu konsep perpaduan dan solidariti.

“Perkara yang sudah berlaku mesti dijadikan satu sempadan dan pengajaran untuk setiap pemimpin serta akar umbi supaya meletakkan parti sebagai satu keutamaan.

“Ini ucapan yang lebih realistik, futuristik dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas,” ulas beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid sedia memaafkan 10 ahli Parlimen partinya yang menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin UMNO akan tetap memantau pergerakan ahli-ahli Parlimen terlibat.

“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka telah bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya telah memaafkan apa yang berlaku.

“Saya akan terus bersama-sama dengan Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

“Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO dan BN dalam mendokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke reruai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sempena PAU 2022 pada Khamis.