4,713 unit rumah bakal diserahkan kepada rakyat

in Nasional by

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,713 unit rumah akan diserahkan kepada rakyat di bawah tujuh inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam tempoh 100 hari.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, kementerian itu berkata, jumlah tersebut meliputi Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah, Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2022 secara berkelompok serta penyerahan penyelesaian projek sakit yang berjaya disiapkan di Ipoh, Perak dan Kota Tinggi, Johor.

“Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merupakan jabatan dan agensi di bawah KPKT yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini,” kata KPKT.

Kementerian itu turut berkata, di bawah inisiatif tersebut juga, kerja-kerja menaik taraf 12 unit lif di PPR Kota Damansara, Kuala Lumpur akan dibaik pulih dan diselenggara.

Ia bakal dimanfaatkan oleh 4,608 golongan B40 yang menghuni di PPR tersebut.

Dalam tempoh itu juga, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan menaik taraf Pasar Tok Kenali, Jalan Binjai, Kelantan dan Pasar Pasir Pinji, Ipoh, Perak serta menyediakan 100 buah kiosk perniagaan.

“Pelaksanaan ini penting bagi meningkatkan kemudahan premis perniagaan,” ujar kementerian itu.

Dijangkakan seramai 353 orang peniaga menerima manfaat daripada pelaksanaan naik taraf pasar awam dan penyediaan kiosk perniagaan tersebut.

KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga komited dalam usaha penutupan 100 lokasi tapak sampah haram dan pemerkasaan inisiatif kitar semula.

Selain itu, kata kementerian itu, peranan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) juga penting bagi memastikan pengoperasian Loji Rawatan Waste to Energy (WtE) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan yang pertama di Malaysia di mana dapat mengurangkan 90 peratus penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

“KPKT juga melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap pengoperasian empat Balai Bomba dan Penyelamat baharu yang terletak di Kuala Lumpur, Perak dan Sarawak akan dapat meningkatkan tahap jaminan keselamatan khususnya bagi penduduk setempat,” kata kementerian itu.