Bahan binaan jatuh: CIDB arah henti kerja pembinaan

in Berita Semasa by

Sebuah kereta rosak teruk akibat dihempap objek yang terjatuh dari tingkat 56 sebuah menara yang dalam pembinaan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan notis pemberhentian kerja pembinaan di Jalan Ampang susulan insiden formwork aluminium jatuh menghempap sebuah kenderaan awam pada Jumaat.

CIDB dalam satu kenyataan memaklumkan, notis tersebut dikeluarkan kepada kontraktor utama projek tersebut bagi menjaga keselamatan awam dan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan pihak bertanggungjawab.

“Menurut laporan awal, insiden tersebut berlaku kira-kira jam 9 pagi semasa kerja-kerja membuka aluminium panel di aras 55 sedang dijalankan.

“Salah satu panel aluminium tersebut telah jatuh lalu menghempap kenderaan awam yang diletakkan di seberang jalan berhadapan tapak projek,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian.

Terdahulu, tular gambar menunjukkan sebuah kenderaan rosak di bahagian bumbung akibat dihempap bahan binaan berkenaan. – Bernama