BISA platform terbaik usahawan PKS

in Nasional by

MEOR SHAHROM ZAINUDDIN. Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) merupakan platform terbaik bagi komuniti usahawan terutamanya pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar lebih berdaya saing dan produktif untuk memperluaskan perniagaan.

Ketua Unit Bisnes Sinar Harian, Meor Shahrom Zainuddin berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh pemain industri PKS antaranya kekurangan atau tiada modal pusingan dan perlu menanggung kerugian dalam perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sedangkan, katanya, sektor PKS amat besar sumbangannya kerana ia bukan sahaja memberi peluang pekerjaan malah mampu menjana pendapatan masyarakat sekeliling sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Sumbangan PKS terhadap negara ketika ini boleh dikatakan bawah 40 peratus namun disebabkan keadaan pandemik ia susut kepada hampir 10 peratus.

“Menerusi penganjuran BISA, ia adalah satu harapan kami warga Sinar Harian untuk melihat industri PKS kembali dan terus berkembang pada masa depan.

“Ia bukan setakat mengiktiraf golongan usahawan tetapi mempunyai misi yang lebih jauh ke hadapan dalam membantu mereka mencorak bentuk perniagaan agar lebih maju,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Bermula Februari 2023, BISA akan diangkat sebagai acara tahunan Sinar Harian selepas lebih 16 tahun menjadi media pilihan dan rujukan utama rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, tambah Meor Shahrom, menerusi BISA golongan usahawan PKS juga berpeluang berkongsi pandangan dan idea dengan usahawan lain agar lebih berjaya selain dapat menimba ilmu baharu.

“BISA juga boleh menjadi badan perantara antara komuniti perniagaan dengan kerajaan atau badan-badan korporat dalam membentuk polisi, dasar dan bergerak bersama ke arah dunia perniagaan yang semakin mencabar.

“Selain itu, saya mengalu-alukan usahawan PKS menggunakan pelbagai saluran dan segmen di Sinar Harian untuk mempromosikan perniagaan mereka sama ada di platform digital seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok serta akhbar Sinar Harian,” ujarnya.

Beliau berkata, Sinar Harian mempunyai kekuatan platform dalam pelbagai medium untuk membantu memperkasakan komuniti usahawan.

“Selaku akhbar arus perdana No 1 paling diyakini, menerusi sistem konvensional atau tradisi yang masih utuh, kami mampu memberi perkongsian komprehensif kepada pembaca secara am dan khusus kepada komuniti perniagaan.

“Kami juga telah melancarkan tagline ‘Sinar Harian Sokongan Bisnes Anda’ sebagai tanda pengiktirafan kepada industri perniagaan,” katanya.