Covid-19: Kes harian bawah 600, kes aktif berbaki 11,126

in Khas by

Penularan Covid-19 negara ‘masih terkawal’ dan kekal tiga angka bawah 600 kes dengan hanya 383 kes dilaporkan pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 negara “masih terkawal” masuk minggu kedua tahun baharu 2023 dan kekal tiga angka bawah 600 kes dengan hanya 383 kes dilaporkan semalam (12 Januari).

Daripada 383 kes, sebanyak 141 kes (36.8 peratus) dilaporkan di Selangor. Negeri lain mencatat kes dua angka iaitu WP Kuala Lumpur (58), Sarawak (31), Melaka (28), Pulau Pinang (27), Kedah (17), Negeri Sembilan (14), Perak (13), Johor (11), Kelantan (11) dan Terengganu (10).

Kes satu angka dilaporkan di WP Putrajaya (8), Sabah (6), WP Labuan (4), Pahang (2) dan Perlis (2).

Sepanjang Rangkuman Bernama 7 Jan – 12 Jan 2023, jumlah kes harian baharu sebanyak 2,489 kes, susut 5.4 peratus berbanding 2,630 kes pada Rangkuman Mingguan 31 Disember 2022 hingga 6 Januari 2023.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 negara menurut data KKMNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat pukul 11:59mlm 12 Jan 2023 adalah sebanyak 5,031,826 kes. Kes aktif menurun kepada 11,126 dengan 95.4 peratus (10,611 kes) daripada jumlah itu menjalani kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa semalam (12 Januari) dipetik berkata, “Situasi semasa kes Covid-19 dalam negara masih terkawal dan setakat ini tidak memerlukan kerajaan mengambil langkah sehingga menutup sepenuhnya pintu sempadan negara.”

Menurut beliau, “Malah sehingga Selasa lepas belum ada lagi kes jangkitan ataupun yang bergejala dikesan di pintu masuk sempadan, walaupun negara telah menerima kira-kira 7,000 pelancong China, sejak 8 Januari lepas.”

Untuk rekod, kes pertama Covid-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

Dengan 5,031,826 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini menduduki tangga 28 daripada 229 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Chile (5,078,573) dan Ukraine (5,361,352).

Dalam kalangan 229 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (185,472) diikuti Korea Selatan (43,953) dan Amerika Syarikat (27,178).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat COVID-19 tertinggi dengan 1,124,382 kes.

Sementara itu, Malaysia masih mempunyai 11,126 kes aktif Covid-19, dan sebanyak 10,611 (95.4 peratus) dikuarantin di rumah.

Sifar ​​​(0) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 495 kes (4.4 peratus) di hospital; 12 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 8 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP. – Bernama