Cubaan godam: Rangkaian komunikasi ATM selamat

in Berita Semasa by

Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet kekal selamat.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kegiatan penggodam telah dikesan awal dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya.

Beliau berkata, modus operandi yang dikesan adalah penggodam melaksanakan e-mel pancingan dengan cubaan serangan secara rawak ke rangkaian e-mel rasmi yang digunakan oleh beberapa agensi di Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Aspek keselamatan dan pertahanan siber ATM sentiasa dipantau sebilang masa dalam memastikan segala ancaman yang cuba mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani sewajarnya.

“ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan ICT ATM serta Kementerian Pertahanan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Affendi berkata, segala tindakan yang diambil adalah bagi mencegah seterusnya mematahkan modus operandi dan penggunaan teknologi semasa oleh penggodam yang sentiasa menjadi ancaman bukan sahaja di rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara.

Sebelum ini, media melaporkan kumpulan penggodam baharu yang dikenal pasti sebagai Dark Pink, menggunakan e-mel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menjejaskan pertahanan tentera di Filipina dan Malaysia, serta organisasi kerajaan di Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.- Bernama