Didakwa bunuh, dua rakan berdepan hukuman mati

in Berita Semasa by

Kedua-dua tertuduh di hadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh.

IPOH – Dua rakan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang lari dari pengawasan polis bulan lalu.

M Shart Yanantham Naidu, 28, dan G Kesevaraj, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Jessica Daimis.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh T Murthi, 37, di sebuah rumah di Jalan Putra 8C Taman Klebang Putra, Chemor dalam daerah Kinta antara jam 10.40 malam hingga 11.28 malam pada 30 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azhar manakala kedua-dua mereka yang bekerja sendiri diwakili Peguam Datuk Sheelan Arjunan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang penganggur warga tempatan yang lari daripada pengawasan polis di Parit Buntar ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor.

Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati, punca kematian adalah kecederaan disebabkan objek tumpul.