Hadi Fayyadh sertai Perak FC

in Sukan by

Muhammad Hadi Fayyadh (tiga dari kanan) diperkenalkan sebagai pemain Perak FC ketika Majlis Pelancaran Jersi Baharu Perak FC 2023 di Stadium Perak, di sini pada Jumaat.

PEMAIN yang berkelana di Jepun, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, 23, kini sah menyertai Perak FC.

Bekas pemain Fagiano Okawa itu bakal memperkuatkan jentera serangan Perak FC dalam saingan Liga Super musim 2023 ini.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Pelancaran Jersi Baharu Perak FC 2023 di Stadium Perak di sini pada Jumaat.

Ketika ditanya mengapa memilih Perak FC, Muhammad Hadi Fayyadh menjelaskan keputusan itu dibuat atas faktor Ketua Jurulatih, Lim Teong Kim dan pihak pengurusan Perak FC yang bersungguh-sungguh mahukan khidmatnya.

“Perak tempat kelahiran saya dan membesar di sini. Terima kasih kepada Perak FC kerana bersusah payah dapatkan saya.

“Saya mahu membantu Perak FC mengembalikan zaman kegemilangannya sebelum ini dan menjadikan pasukan ini antara yang terbaik dalam liga,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, pihaknya terharu dengan kehadiran pemain kelahiran dari Ulu Bernam itu.

Jelasnya, diharap dengan kehadiran pemain tersebut akan memperkuatkan jentera Perak FC dalam saingan liga kali ini.

Muhammad Hadi Fayyadh diikat kontrak bersama Perak FC selama dua tahun.

Sementara itu, mengenai prestasi semasa pasukan, Teong Kim menjelaskan anak buahnya memerlukan masa untuk mendapatkan rentak.

Katanya, mereka sudah menunjukkan permainan yang baik dan berharap penyokong terus memberikan semangat kepada pasukan.