Jabatan Penjara benar lawatan khas sempena Tahun Baru Cina

in Berita Semasa by

Gambar hiasan.

KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia menawarkan sesi lawatan khas buat ahli keluarga penghuni penjara dan pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan khas, serta Sekolah Henry Gurney sempena Tahun Baru Cina.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat berkata, lawatan khas berkenaan dibenarkan secara bersemuka dan dalam talian di mana ahli keluarga yang berminat perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

Menurutnya, tempahan janji temu boleh dibuat menerusi sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, dan panggilan telefon atau e-mel kepada institusi berkaitan.

“Lawatan bersemuka akan diadakan pada hari ketiga hingga keempat Tahun Baru Cina iaitu pada 23 dan 24 Januari manakala bagi kaedah dalam talian pada 26 hingga 28 Januari.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat. Keutamaan lawatan diberi kepada penghuni dalam kalangan kaum Cina sahaja,” menurut kenyataan pada Jumaat.

Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan, waktu melawat ditetapkan dari jam 8.15 pagi sehingga 4.15 petang dan pelawat diwajibkan membuat ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR atau ARTK-Ag.

“Pelawat perlu memastikan diri tidak bergejala (Covid-19) sebelum hadir ke institusi berkenaan dan perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Pelawat juga tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni. Makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara,” jelasnya.

Pada masa sama, pelawat yang ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan seperti pembayaran yuran peperiksaan perlu mendapatkan resi rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan.

Tambahnya, setiap pelawat yang hadir boleh dikenakan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak penjara semasa masuk dan keluar di bawah peruntukan Akta dan Peraturan Penjara.