Klich sambung karier bersama DC United

in Sukan by

Mateusz Klich

PEMAIN tengah Poland, Mateusz Klich telah menyertai kelab Major League Soccer (MLS) DC United dengan kontrak dua tahun selepas meninggalkan Liga Perdana Inggeris, Leeds United, kata kelab Amerika Syarikat (AS) itu.

Klich, yang menyertai Leeds pada 2017 daripada kelab Belanda, FC Twente, akan bermain di ibu negara AS hingga 2024 dengan pilihan untuk melanjutkan perjanjian itu hingga 2025, kata D.C. United.

“Mateusz ialah pemain tengah kelas pertama yang akan menambah pengalaman peringkat teratas kepada senarai kami.

“Saya telah memerhatikannya sejak dia bantu memimpin Leeds naik ke Liga Perdana Inggeris dan visinya, pelbagai hantaran dan keupayaan menjaringkan gol akan menjadi aset besar untuk kami musim ini,” kata pengurus DC United, Wayne Rooney.

Klich membantu Leeds merangkul kejuaraan peringkat kedua pada musim 2019-20, memastikan mereka kembali ke liga teratas buat kali pertama sejak kelab itu diturunkan pada 2003-04.

Leeds sebelum ini telah mengumumkan bahawa Klich akan meninggalkan kelab itu, menunggu tawaran daripada MLS.

“Saya harap boleh kekal tetapi tidak pernah seronok berada di bangku simpanan dan saya mahu bermain sebanyak yang saya boleh pada tahun-tahun akan datang,” tulis pemain berusia 32 tahun itu dalam satu kenyataan mesej perpisahan di Twitter.

Klich membuat penampilan sulung di Poland pada Jun 2011 dalam kemenangan persahabatan 2-1 ke atas Argentina, dan kemudian memenangi lebih daripada 40 caps untuk negaranya