Laporan siasatan kebakaran Wisma Jakel siap hujung bulan ini

in Berita Semasa by

Kebakaran melibatkan Wisma Jakel mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan hampir RM100 juta.

SHAH ALAM – Laporan siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis.

Katanya, laporan itu meliputi hasil analisis sampel kebakaran yang diambil di setiap sudut bangunan berkenaan serta dokumen daripada pihak Jakel sendiri.

Selain itu katanya, pihak bomba juga akan menyiasat tentang dakwaan beberapa bahagian dalam wisma berkenaan yang diubah suai tanpa mendapat sijil perakuan bomba (FC) untuk dimasukkan dalam laporan berkenaan.

“Bangunan tersebut mempunyai FC pada peringkat awal, tapi saya akan semak semula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan siasat secara mendalam.

Jika ada perubahan (pengubahsuaian) mungkin ia masih dalam proses permohonan kerana tempoh pandemik Covid-19 selama dua tahun sebelum ini dan kemungkinan permohonan itu tergantung, tapi semua blok itu ada FC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ke JBPM Negeri Selangor dan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Selangor pada Jumaat.

Sementara itu, Norazam turut memaklumkan bangunan berkenaan masih selamat untuk diduduki dan digunakan semula kerana tempoh kebakaran yang tidak lama dan hanya melibatkan kemusnahan fabrik.

“(Namun) mungkin pihak Jakel perlu mencari pihak tertentu untuk mengukur tahap ketahanan bangunan tersebut. Tapi setakat ini, wisma itu tiada masalah (untuk digunakan semula),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan gedung tekstil terkemuka itu terbakar sebanyak dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian hampir RM100 juta.

Terdahulu, Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba hari ini menyaksikan seramai 83 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negeri Selangor menerima Pingat Kebesaran Jabatan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2020 yang disampaikan Mohammad Hamdan.

Norazam berkata, daripada jumlah tersebut seramai 68 anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba manakala selebihnya mendapat Pingat Setia Bomba.- Bernama