Mayat dalam guni di tepi jalan

in Berita Semasa by

Satu mayat ditemui dalam guni di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, Klang pada Khamis. (Gambar kecil: Vijaya Rao)

KLANG – Satu mayat yang mulai mereput ditemukan di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penemuan itu dimaklumkan orang awam kepada polis pada jam 6.10 petang.

“Mayat yang mulai reput itu ditemui dalam keadaan berbungkus di dalam guni putih.

“Keadaan mayat hanya memakai kain sarung warna biru tanpa baju. Identitinya juga masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat dipercayai mangsa bunuh itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452.

“Orang ramai juga boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.