OKU tagih suntikan semangat PM sebelum daki Everest

in Nasional by

Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 32, berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan motivasi sebelum memulakan misi pada April ini.

PUTRAJAYA – Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim, 32, berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan motivasi sebelum memulakan misi pada April ini.

Menurutnya, Perdana Menteri adalah pemimpin idolanya dan kecekalan beliau terbabit dalam bidang politik adalah suatu contoh yang baik untuk dijadikan sebagai pembakar semangat untuk menawan puncak tertinggi dunia itu.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri berasal dari negeri yang sama iaitu Pulau Pinang dan pada kali ini bertekad sampai ke puncak bagi mengharumkan nama negara dan negeri kelahiran.

“Misi ini adalah cabaran kedua bagi saya selepas tertangguh pada tahun lalu akibat faktor cuaca dan pada kali ini bertekad serta yakin mencapai kejayaan bagi membuktikan OKU juga setaraf dengan golongan lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Misi ME 2023 dianjuran Kelab Eksplorasi Altitud bertujuan menawan Gunung Everest (8,848 meter dari paras laut) dengan mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa peserta.

Misi ini diketuai Presiden Kelab Eksplorasi Altitud yang juga bekas pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak turut disertai lapan peserta lain terdiri dari tiga anggota Komando 69 iaitu Mohammad Hanif Che Ahmad, 29, Inspektor Kanang Usin, 43, dan Koperal Pragash Murugesu, 33, dari Kem Ulu Kinta.

Peserta lain ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 55, kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 29, Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan, 42, dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng, 38.

Azim berkata, ekspedisi ini adalah kesinambungan misi tahun lalu yang ditangguhkan disebabkan faktor cuaca dan keselamatan pendaki.

Menurut beliau, peserta sudah bersiap sedia sejak Disember lalu dengan menjalani latihan mendaki Kem Induk Everest (EBC) dan Lobuche Peak di Nepal termasuk pengalaman di Everest pada tahun lalu.

Katanya, kelab juga sudah bersedia dari segi bajet hasil sumbangan kerajaan sebelum ini yang mencukupi untuk membiayai kos peserta sepanjang menyertai ekspedisi.

“Kita yakin ekspedisi kali ini akan berjaya dan dapat mengharum nama negara di peringkat dunia kerana salah seorang peserta adalah dari golongan OKU pekak dan bisu, Muhammad Hawari,” katanya.

Azim berkata, pada Mei tahun lalu empat peserta terpaksa berpatah balik disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) hingga 70 km per jam.

Menurutnya,ketika itu kedudukan mereka berada kira-kira 7,600 meter dari paras laut (8,848 m ketinggian Everest) di ‘Yellow Band’ antara kem tiga dan kem empat dan hanya memerlukan anggaran 16 jam untuk tiba dipuncak tertinggi dunia itu.

Katanya, misi kali ini akan dimulakan lebih awal selepas aktiviti pendakian Everest dibuka bagi mengelak faktor cuaca sama berulang yang boleh menimbulkan bahaya dan keselamatan kepada pendaki.

“Pasukan ME 2023 dijangka bertolak ke Nepal pada awal April bagi membuat persiapan dan memulakan misi pada awal Mei ini,” katanya.