PAU 2022: UMNO perlu atur langkah persiapan PRU16

in Politik by

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jumaat. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – UMNO perlu bersedia mendepani satu lagi gelombang pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal memberi satu lagi cabaran besar kepada parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan sikap dan pemikiran pengundi baharu itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kesan daripada sentimen perkauman serta persepsi negatif yang didedahkan kepada kelompok itu.

Justeru katanya, UMNO akan melaksanakan tiga perubahan segera sesuai dengan kehendak semasa.

“Pertama, kita perlu mampu menangkap imaginasi anak-anak muda ini. Kita perlu memahami pola fikir mereka. Pada masa kita ingin mendapatkan sokongan mereka, kita juga bertanggungjawab, mencorak anak-anak muda ini sebagai sumber penting potensi negara.

“Kedua, kita perlu mempunyai kemampuan untuk menyeimbangkan politik pembangunan dan politik perkhidmatan. Dalam erti kata lain, kita mesti mampu mengimbangi ‘the need of the nation versus interest of the citizen’ (kepentingan negara berbanding dengan kehendak individu atau kelompok masyarakat); dan

“Seterusnya, kita mesti menggarap pemikiran serta idea baharu setiap peringkat parti, Wanita, Pemuda, Puteri, kelab-kelab UMNO, parti-parti sahabat dan pemikir-pemikir luar, bagi memastikan parti kita relevan dengan realiti politik semasa,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Jelas Ahmad Zahid, menyedari pemikiran dan lensa politik golongan muda yang bersifat dinamik dan meluas, persediaan jitu untuk mendepani cabaran itu perlu dilaksanakan segera.

“Saya amat yakin, dengan tekad kita untuk memperbaharui perjalanan parti pada masa hadapan, ada potensi untuk kita mendakap semula, sebahagian besar daripada 74 kerusi, yang terlepas daripada tangan kita sebelum ini,” katanya.