PLUS tambah 12 lorong RFID di plaza tol, elak kesesakan

in Nasional by

Nanta (tengah) adakan pertemuan bersama wakil dari Kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, LLM dan PLUS Malaysia di kementeriannya di Putrajaya pada pagi Jumaat.PLUS akan menambah sebanyak 12 lorong RFID di plaza tolnya selewat-lewatnya pertengahan April depan. Gambar kecil: Nanta Linggi

SHAH ALAM – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menambah sebanyak 12 lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tolnya selewat-lewatnya pertengahan April depan demi keselesaan pengguna susulan masalah kesesakan yang berlaku di plaza tol RFID.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan diadakan beliau bersama wakil dari Kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia.

Kata beliau, menerusi pertemuan itu, kementerian mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah selain memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Kesepakatan sudah dicapai dan pihak PLUS sudah bersetuju untuk menambah lorong RFID demi keselesaan pengguna. Buat permulaan, sebanyak 12 lorong akan ditambah selewat-lewatnya pertengahan April ini.

“Perincian lokasi lorong yang akan ditambah dan lain-lain perkara berkaitan akan turut diumumkan hari ini,” katanya menerusi ciapan di Facebook beliau pada Jumaat.

Menurut Nanta, beliau memanggil wakil Kumpulan Touch ‘n Go Malaysia, LLM dan PLUS Malaysia itu rentetan isu kesesakan di plaza tol yang menggunakan RFID seperti diutarakan pengguna lebuh raya ketika ini bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai isu tersebut.

**media[2055982]**

“Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol.

“Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah, sekali gus menyebabkan kemalangan,” jelasnya.

Projek rintis RFID bagi sistem tertutup di Lebuhraya PLUS mula dilaksanakan di jajaran Hutan Kampong – Sungai Dua sejak 22 Julai 2020 sehingga 30 Oktober 2021.

Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) sudah dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di PLUS bermula jam 10 malam pada 15 Januari 2022.

Bagaimanapun, pelaksanaannya hingga kini menimbulkan banyak rungutan daripada pengguna terutamanya didakwa menjadi penyebab kesesakan trafik di plaza tol selain pelekatnya yang sensitif serta mudah koyak.