PM lawat Negeri Sembilan, solat Jumaat di Sikamat

in Nasional by

Anwar melambai tangan ke arah pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Dato Klana Petra Mohd Yusof pada Jumaat.

SEREMBAN – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat dekat sini disambut meriah oleh para jemaah bagi menunaikan solat Jumaat hari ini.

Jemaah daripada pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang bersalaman serta merakam gambar kenangan bersama Anwar yang lengkap berbaju Melayu hijau sebaik tiba kira-kira jam 1.10 tengah hari diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ini merupakan lawatan kali pertama Anwar ke Negeri Sembilan selepas dilantik Perdana Menteri pada November lepas.

Ketua Imam masjid itu, Ustaz Najib Nubhan Khairuddin mewakili seluruh jemaah berkata, beliau berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berusia lebih 20 tahun itu.

Beliau berkata, Anwar merupakan pemimpin utama negara yang kedua mengunjungi masjid tersebut selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Alhamdullilah kami berbesar hati menyambut pemimpin utama negara Perdana Menteri, diharapkan kehadiran beliau dapat memberikan kebaikan kepada negeri ini, Insya-ALLAJ,” katanya kepada pemberita.

Khutbah Jumaat bertajuk Kesyukuran Pemangkin Kemakmuran disampaikan oleh Najib Nubhan di hadapan kira-kira 4,000 jemaah manakala solat Jumaat diimamkan Ustaz Muhammad Umar Sohaib Abu Hanifah.

Terdahulu, Anwar dalam lawatannya turut meluangkan masa menyantuni rakyat di negeri ini dan menjamu selera di kedai Cendol Songkok Tinggi Kampung Jiboi Baru, di sini. – Bernama