Presiden AS disiasat didakwa sembunyi dokumen sulit

in Global by

Joe Biden. – Foto AFP

WASHINGTON – Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) menamakan seorang pendakwa bebas pada Khamis untuk menyiasat cara Presiden Joe Biden mengendalikan dokumen sulit.

Menurut Rumah Putih ia dibuat selepas kumpulan kedua kertas rahsia ditemui di kediaman peribadinya di Wilmington, Delaware, di mana beliau meluangkan masa ketika hujung minggu.

Dokumen itu adalah dari zaman Biden menyandang jawatan selaku naib presiden AS.

Peguam Negara Merrick Garland mengumumkan bahawa Robert Hur akan dilantik sebagai peguam khas yang akan diberi kuasa untuk memeriksa sama ada penyembunyian dokumen itu melanggar sebarang undang-undang.

“Di bawah peraturan, keadaan luar biasa di sini memerlukan pelantikan seorang peguam khas,” kata Garland, yang mengendalikan Jabatan Kehakiman AS.

Pelantikan itu dibuat beberapa jam selepas Rumah Putih memperakui penemuan kumpulan kedua dokumen sulit itu tetapi tidak membincangkan kandungannya.

Ini mencetuskan skandal ke atas set pertama dokumen sulit yang ditemui di pejabat Biden di bangunan sebuah badan pemikir Washington.

Pendedahan itu mendorong perbandingan dengan siasatan peguam khas ke atas Trump, yang menyembunyikan ratusan bahan sulit di rumahnya di tepi pantai Florida serta dakwaan bahawa beliau cuba menghalang usaha pemerintah untuk mendapatkannya kembali.

“Saya mengambil serius dokumen sulit dan bahan sulit ini. Kami bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan Jabatan Kehakiman.

“Sebagai sebahagian daripada proses itu, peguam saya menggeledah tempat lain di mana dokumen-dokumen ketika saya menggalas jawatan naib presiden telah disimpan dan mereka selesai menjalankan semakan malam tadi, kata Biden memberitahu wartawan.

Tambahnya ‘sebilangan kecil’ dokumen dengan tanda sulit ditemui di kawasan penyimpanan serta perpustakaannya dan bahawa Jabatan Kehakiman sudah pun dimaklumkan dengan serta-merta.

Biden enggan menjawab soalan yang diajukan pihak media tetapi seorang peguam Rumah Putih kemudian berkata bahawa dokumen itu “sudah disalah letak dengan tidak sengaja.” – AFP