Sedia hadapi kenaikan bahan binaan 180 peratus

in Edisi Selangor KL by

Amirudin (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan serta penerima Rumah Selangorku pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang pada Jumaat.

KLANG – Kerajaan negeri Selangor sentiasa bersedia berdepan cabaran kenaikan harga bahan binaan yang melambung 180 peratus terutama dalam pelaksanaan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan harga bahan binaan itu berlaku kesan daripada konflik Rusia-Ukraine dan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut beliau, harga bahan binaan seperti simen, batu-bata termasuk besi mengakibatkan segala aktiviti pembangunan perumahan mampu milik yang dalam pembinaan dan perancangan bakal tergendala.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi trend kumpulan B40 yang tinggal di bandar semakin meningkat,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang pada Jumaat.

Seramai 20 daripada 30 penerima Rumah Selangorku hadir pada majlis penyerahan kunci berkenaan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sedia maklum tentang situasi yang semakin mencabar itu dan pelbagai usaha dilakukan dalam mendepani isu tersebut.

Jelas beliau, ia termasuk usaha memperkukuh ‘smart partnership’ membangunkan Rumah Selangorku dengan pihak berkaitan iaitu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, anak syarikat kerajaan negeri seperti Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holding Berhad serta pemaju perumahan lain.

Beliau memberitahu, sebanyak 386 projek diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor melibatkan 221,671 unit Rumah Selangorku, MBI Idaman dan Rumah Harapan sehingga 1 Januari lalu.

“Sebanyak 93 projek Rumah Selangorku siap dibina dan diserahkan kunci melibatkan 33,061 unit dan dalam pembinaan sebanyak 61 projek membabitkan sebanyak 16,965 unit Rumah Selangorku.

“Projek belum dibina masih dalam peringkat perancangan untuk mendapatkan kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan,” ujar beliau.

Jelas Amirudin, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terlibat dalam penyediaan Rumah Selangorku yang pada masa ini membangunkan lima lokasi melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah.

“Rumah Selangorku itu antaranya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan Projek Rumah Selangor Alam Impian Shah Alam,” jelasnya.