UMNO Sabah belum buat usul isu lima ADUN sokong Hajiji

in Politik by

Datuk Seri Bung Moktar Radin
KOTA KINABALU – UMNO Sabah belum mengemukakan usul kepada lembaga disiplin parti mengenai tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia kerana beberapa proses perlu diikuti sebelum membuat usul berkenaan.

“ADUN UMNO yang membelakangkan keputusan parti tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kepimpinan bahagian kecuali seorang berjawatan iaitu Timbalan Ketua Bahagian.

“Sementara ADUN lain hanya anggota biasa dan ada yang sudah dikenali sebagai pemimpin yang sering kali bertukar parti,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada 6 Januari lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji, sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, lima ADUN berkenaan enggan menyokong langkah UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

ADUN terbabit ialahTimbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Bung Moktar juga mendakwa pelantikan Shahelmey sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu manakala James sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah tidak mewakili UMNO dan tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah. – Bernama