540 terima darjah kebesaran, pingat Negeri Sembilan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik mendahului senarai 540 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-75 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Sabtu.

Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Tiga individu lain yang menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Azizul Azmi Adnan, Pengerusi Perbadanan MAINS, Razman Hafidz Abu Zarim dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Shazril Imri Mokhtar menerima.

Selain itu, Penghulu Luak Gunung Pasir, Hanizam Harun pula antara tiga penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Dua lagi penerima ialah Pro Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Datuk Tunku Nooruddin Tunku Datuk Seri Shahabuddin serta Pengarah Urusan Ting’s Dental Surgery, Dr Ting Choon Ee.

Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 15 penerima, termasuk Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Negeri Sembilan, T Arokiasamy.

Seramai 16 individu pula menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Timbalan Pengarah Tanah dan Galian, Amino Agos Suyub dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon.

Sementara itu, Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 22 penerima; Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (69); Setiawan Tuanku Muhriz (STM) (tiga); Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (139), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (241); Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) (14) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (13).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini pada Sabtu bagi sesi pertama, sesi kedua pada 31 Januari dan sesi ketiga pada 7 Februari.