Bekalan telur ayam di Melaka pulih

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Gambar hiasan – Foto Bernama

MELAKA – Bekalan telur ayam di Melaka pulih ekoran kemasukan bekalan import dari India baru-baru ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar.

Beliau berkata, bagaimanapun orang ramai khususnya peniaga kuih raya diminta tidak melakukan pembelian secara pukal terutama menjelang sambutan perayaan dengan tujuan untuk menyimpan bekalan.

“Tiada had jualan telur dalam kuantiti tertentu seperti minyak masak bersubsidi tetapi orang ramai diminta tidak melakukan pembelian secara pukal.

“Kita tahu menjelang Tahun Baharu Cina dan hari raya bakal menjelang tiba ini orang ramai sibuk mencari bekalan terutama untuk membuat persediaan sambutan seperti membuat kuih raya,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan tanda harga di gerai jualan di Jonker Walk di sini lewat malam Jumaat.

Pemeriksaan berkenaan turut disertai Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, Norena berkata, walaupun tiada had jualan bagi bekalan telur, peniaga berhak menentukan jumlah kuantiti yang boleh dibeli oleh pengguna bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 22 kes membabitkan kesalahan kepenggunaan di bawah pelbagai akta di bawah KPDN direkodkan dalam tempoh 12 hari bermula 1 Januari lepas.

Katanya, dalam tempoh itu juga, kompaun sebanyak RM4,800 dan denda (RM250) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam tempoh sama, KPDN Melaka juga menerima 44 aduan daripada pengguna dan telah memeriksa 1,124 premis perniagaan di seluruh Melaka,” katanya.

Sementara itu, Hee Sem berkata, peniaga makanan, minuman atau barangan di negeri itu terutama di kawasan pelancongan diingatkan meletakkan tanda harga pada setiap produk jualan mereka.

Beliau berkata, tiada kompromi kepada peniaga yang ingkar dan mereka yang mengulangi kesalahan sama selepas notis dikeluarkan boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Dalam pemantauan malam ini (tadi) juga, kita melihat masih ramai lagi peniaga yang tidak meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual,” katanya. – Bernama