Kisah 10 pengkhianat jadi tumpuan PAU

in Analisis Sinar by

Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di WTCKL.

SHAH ALAM – Kisah 10 pengkhianat yang didedahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara isu hangat yang dibualkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan juga warganet.

Pendedahan yang dilakukan beliau mengenai ahli Parlimen yang telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin itu kebanyakannya mendapat respon negatif.

Namun demikian, pada Jumaat, Ahmad Zahid semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden telah memaafkan sikap ahli politik yang dikatakan mencurangi keputusan parti itu.

Walaupun begitu, beliau turut memaklumkan bahawa perkara tersebut sukar untuk dilupakannya.

Salah seorang daripada ahli Parlimen yang didakwa terlibat, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berterima kasih kepada Presiden kerana sudi memaafkan perbuatan itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga saat ini, beliau tidak tahu sebab utama dituduh sedemikian.

Menurutnya, tindakan itu adalah selari dengan ketetapan parti dan bertindak menarik semula akuan berkanun (SD) apabila parti bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut mendakwa terdapat gerakan yang dibuat untuk menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Gerakan itu dilakukan selepas kekalahan besar parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau juga mengetahui adanya rundingan pintu belakang yang diatur dengan Perikatan Nasional (PN) melalui Langkah St Regis.

Dalam masa sama, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti masih lagi menjadi tanda tanya sama ada akan dipertandingkan atau tidak.

Terdapat perwakilan berpendapat bahawa dua jawatan tertinggi itu tidak perlu dipertandingkan, malah ada juga yang bertentangan dengannya.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan soal pemilihan itu.

Beliau berkata, sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi maka urusan tersebut diserahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.