Perak FC perlu masa

in Sukan by

TEONG KIM

PENGENDALI Perak FC, Lim Teong Kim mengakui pasukannya memerlukan masa untuk mendapatkan rentak sebenar dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Menurutnya, ketumpulan penyudah antara perkara utama yang perlu diperbaiki bagi memastikan peluang-peluang yang dicipta itu menghasilkan jaringan.

Beliau berkata, anak buahnya sudah menunjukkan peningkatan prestasi yang baik walaupun keputusan di atas padang masih belum memihak sepenuhnya kepada pasukan.

“Memang banyak lagi ruang perlu diperbaiki seperti mana saya kata kita punya peluang yang dicipta itu banyak tapi penyudahan kurang baik. Kalau peluang tak diguna dari minit ke minit memang akan menjadi susah.

“Kita setiap hari berlatih bersungguh-sungguh untuk menang, bukan kita datang padang goyang punggung, tak ada. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh dan etika bekerja mereka sungguh baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan di antara Perak FC dan Armed Forces FC di Stadium Perak di Ipoh pada Jumaat.

Mengulas mengenai import baharu, Christian Obiozor, Teong Kim menjelaskan pemain berkenaan sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

Jelasnya, pemain dari Nigeria itu sudah menunjukkan permainan meyakinkan dan berusaha untuk mendapatkan persefahaman dengan pemain-pemain lain.

Dalam pada itu, Teong Kim berharap peminat bersabar dan terus memberikan sokongan kepada pasukan dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Peminat punya permintaan di sini juga tinggi jadi itulah saya katakan harap peminat lebih passion dengan kita.

“Kita hari ke hari kita sentiasa bertungkus lumus untuk memperbaiki semua perkara. Jadi saya berharap peminat bersabar sikit,” katanya.

Pada perlawanan ujian menentang Armed Forces FC, Perak FC menang tipis 1-0 di laman sendiri.