Anwar terima teguran, jelaskan pelantikan Nurul Izzah

in Nasional by

Anwar pada sidang media selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil pada Selasa. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terbuka menerima setiap teguran dan akan memberikan penjelasan berhubung pelantikan Nurul Izzah selaku Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya.

Menegaskan sekali lagi bahawa pelantikan itu dibuat tanpa sebarang bayaran, Anwar berkata, beliau mahu Nurul Izzah memainkan peranan membantu kerajaan, antara lain dalam memastikan ketelusan pentadbiran serta urusan perolehan tender kerajaan, berlaku secara teratur dan mengikut prosedur.

“Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu yang biasanya semua lantikan akan melibatkan soal upah dan ganjaran.

“Dia (Nurul Izzah) datang untuk bantu. Itu sahaja, bukan untuk ambil projek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di sini pada Selasa.

Perdana Menteri turut mempersoalkan pihak yang mengkritik beliau yang menurut Anwar, mereka sendiri tidak mengamalkan pentadbiran yang telus, malah memberikan kontrak dan tender bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga mereka.

“Sebab itu saya kata sedia terima teguran. Jika ikhlas saya tiada masalah kerana saya komited memastikan supaya tiada amalan tidak sihat berlaku dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme di sebalik pelantikan anaknya itu, Anwar menjelaskan perkara itu berlaku jika seseorang diberi jawatan untuk tujuan menyalah guna kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun hingga 2022, Perdana Menteri berkata, beliau yakin rekod itu akan dipulihkan dan berubah menjelang tahun depan.

Anwar berkata, untuk itu, Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbirannya telah memberi mesej jelas bahawa tidak akan bertolak ansur dan bertindak tegas dalam soal melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Kerajaan ini masih baharu…kita ikhlas serta fokus dalam tindakan menentang rasuah dan dalam hal ini saya memberi dukungan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Menurut laporan Transparency International (TI), Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021, dengan skor Malaysia juga jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022. – Bernama