Lelaki Switzerland miliki jangka hayat paling tinggi di dunia

in Global by

Gambar hiasan – Foto 123RF

GENEVA – Kaum lelaki di Switzerland mempunyai jangka hayat paling tinggi di dunia, menurut angka terbaharu Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), lapor Agensi Anadolu.

Seorang budak lelaki yang dilahirkan di Switzerland pada 2021 mempunyai jangka hayat 81.9 tahun diikuti Iceland, Norway dan Jepun, menurut OECD.

Jangka hayat untuk wanita di Switzerland pada masa ini ialah 85.6 tahun dan untuk lelaki 81.6 tahun.

Bilangan mereka yang berumur sekurang-kurangnya 100 tahun telah meningkat di Switzerland dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Negara itu mendaftarkan 377 orang berusia 100 tahun pada 1990 manakala 787 pada 2000 dan angka itu kini berjumlah 1,888, lapor akhbar harian Le Matin Dimanche.

“Ahli demografi menganggarkan setiap anak kedua yang dilahirkan di Switzerland selepas 2000 akan hidup hingga seratus tahun,” menurut Daniela Jopp, seorang profesor di Universiti Lausanne yang mengetuai kajian mengenai mereka yang berumur sekurang-kurangnya 100 tahun di Switzerland.

Menurut Stephane Cullati dari Universiti Fribourg, terdapat hubung kait antara tahap pendidikan dan purata jangka hayat.

“Perbezaan dalam jangka hayat antara graduan universiti dan mereka yang menamatkan pendidikan asas adalah agak besar terutama bagi lelaki.

“Pada 1994, perbezaan antara keduanya ialah 7.6 tahun. Hari ini, graduan universiti hidup 8.8 tahun lebih lama dalam keadaan sihat,” kata penyelidik itu kepada saluran berita Swissinfo. – Bernama