Tangani perubahan iklim secara bersama – Nik Nazmi

in Nasional by

Nik Nazmi (tiga dari kiri) bersama Kon Yeow (tiga dari kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara Think City diwakili Pengarah Kanan Think City Ar. Ahila Ganesan (dua dari kanan) dengan Pakar Pengukuhan Urbanisasi UN-Habitat Tam Hoang (dua dari kiri) di sebuah hotel pada Selasa. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mampu menangani perubahan iklim secara bersendirian, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Malah, katanya, Kerajaan Persekutuan memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri, swasta dan orang perseorangan.

“Penglibatan semua pihak termasuk masyarakat mendorong matlamat menangani perubahan iklim dapat dicapai di segenap lapisan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara Think City dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN- Habitat), di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed.

Menurutnya, Pelan Adaptasi Iklim Semulajadi Pulau Pinang (PNBCAP) yang pertama di negara ini merupakan hasil inisiatif kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dilihat sebagai langkah proaktif dalam meneruskan usaha itu.

“Pelan ini mempunyai empat komponen mengadaptasi penyelesaian secara semula jadi,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian berasaskan alam semula jadi mampu mewujudkan pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi sekali gus menjanjikan keselamatan negara dan kesihatan rakyat.

Nik Nazmi berkata, sebagai sebuah negara maritim, Malaysia terkesan dengan perubahan iklim.

“Semua negeri kecuali Kuala Lumpur dan Putrajaya terkesan.

“Di Lembah Klang pun ada tanah runtuh, banjir dan sebagainya,” katanya.

Pulau Pinang terutamanya bahagian pulau sebelum ini amat terkesan dengan perubahan iklim disebabkan faktor geografi dan pembangunan infrastruktur. Banjir terburuk direkodkan di negeri itu pada tahun 2017.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, PNBCAP merupakan inisiatif multilateral yang bertindak mempertingkatkan daya ketahanan bandar dan mengurangkan kerentanan manusia serta ekosistem terhadap kesan perubahan cuaca ekstrem.

PNBCAP juga melihat cara bagaimana untuk menambah baik daya ketahanan sosial dan membina kapasiti institusi melalui usaha kerjasama.

“PNBCAP selari dengan visi Penang 2030 iaitu satu pelan tindakan yang memberi fokus kepada kualiti hidup, ekonomi, penyertaan awam dan pembangunan seimbang bagi mencapai status negeri yang berorientasikan kekeluargaan, hijau dan pintar,” katanya.