My #QuranTime 2.0 di TV9 mulai Ahad ini

in Nasional by

Hussamuddin (MQT 2.0 disiarkan setiap hari dari jam 12 hingga 1 tengah hari bermula 5 Februari ini di TV9.)

SHAH ALAM – TV9 di bawah Mediaprima menjadi stesen televisyen pertama yang menayangkan program My #QuranTime 2.0 (MQT) bermula Ahad ini.

MQT 2.0 yang disiarkan setiap hari dari jam 12 hingga 1 tengah hari adalah terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) akan bersiaran dari Studio My #QuranTime di Shah Alam.

Pengasas WUI, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program sebanyak 2114 episod itu membawa misi untuk meningkatkan penghayatan solat, memahami dan menghafal al-Quran serta membina tabiat Infak adalah program musim kedua setelah kejayaan MQT 1.0 yang telah bersiaran sebanyak 838 episod di digital media Youtube My #QuranTime Official dan TV Al-Hijrah.

“Istimewa kali ini, dengan matlamat utama untuk menghayati al-Quran melalui hafalan dan pemahaman al-Quran melalui tadabbur serta bacaan yang mantap melalui tajwid serta tahsin, kajian yang dilakukan oleh WUIF untuk MQT kali ini dilakukan secara lebih mendalam.

“Setiap satu pertiga dari 604 halaman al-Quran modul Quran Al-Hafiz telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN),” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, seramai lapan orang pengkaji tetap yayasan WUI bersama dengan para asatizah dan pakar al-Quran di Malaysia dan Indonesia, terlibat menasihati dan merujuk kepada 21 kitab utama dalam menghasilkan setiap episod MQT.

“Program MQT ini ditawarkan kepada TV9 dan semua stesen TV di dalam dan luar negara secara percuma hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Gerakan Al-Quran sejak tahun 2020 dalam misi wakaf konten, iaitu kajian serta menerbitkan pelbagai program pendidikan berlandaskan al-Quran untuk perubahan kerangka fikir dan karakter ummah yang tersimpan secara online untuk dimasuki secara mudah oleh ummah di seluruh dunia,” katanya.

Hussamuddin berkata, MQT 2.0 telah ditayangkan secara atas talian di Facebook (FB) dan YouTube: My #QuranTime Official, dari episod 1 hingga terkini, sejak 14 Disember 2022, setiap hari jam 12 hingga 1 tengah hari dan telah mengumpulkan sebanyak lebih 700,000 pelayar melalui tayangan 48 episod setakat ini.

“Tayangan secara live, mulai Ahad, 12 hingga 1 tengah hari, 5 Februari 2023 di TV9 ini akan bermula dengan episod 54, seiring dengan tayangan di platform digital My #QuranTime Official.

“Bagi episod ulangan iaitu episod 1 hingga akhir (2114) di TV9, ia akan bermula pada 6 Februari sebanyak 2 episod setiap hari dari jam 4.30 pagi hingga 6:30 pagi,” kata Hussamuddin

Jelasnya, stesen TV lain akan turut bersama menyebarluaskan program bersifat pendidikan MQT 2.0 ini manakala TV AlHijrah dan Astro Oasis sedang menyelesaikan sedikit isu teknikal sebelum mengumumkan tarikh tayangan mereka.

Untuk menonton episod sebelum ini, sila klik di pautan berikut:

YouTube: https://bit.ly/mqt2youtube

Facebook: https://bit.ly/mqt2facebook