Tawar harga makanan RM5 sejak 10 tahun

in Edisi Johor by

Sipon menunjukkan nasi campur yang djual pada harga RM5Aneka jenis lauk yang dijual di Restoran Pak Karim.

PONTIAN – Restoran Pak Karim tidak asing bagi penduduk di daerah ini kerana masih mengamalkan konsep murah apabila menjual menu hidangan dengan harga RM5 sejak 10 tahun lalu.

Tidak hairanlah premis yang diusahakan Sipon Sawap, 60 dan isterinya Maslizan A Karim, 53 di Jalan Kukup- Pontian itu sering menjadi tumpuan pekerja dan orang ramai dari sekitar daerah ini.

Sipon berkata, restoran mula diusahakan bapa mertuanya, A Karim Belohik, 76 dengan menawarkan pelbagai menu pada harga rendah.

Jelasnya, selepas dia dan isteri mengambil tanggungjawab meneruskan perniagaan sejak lima tahun lalu, menu pada harga rendah dikekalkan bagi membantu pelanggan.

“Apabila kerajaan umumkan mengenai Menu Rahmah saya tertarik kerana konsep tersebut sudah dimulakan oleh bapa mertua dan dikekalkan sehingga sekarang.

“Ramai yang datang makan tengah hari di sini tidak kira usia dan pekerjaan. Tetapi kebanyakkannya yang bekerja di kilang berhampiran restoran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Beliau dan isteri akan terus menjual pada harga menu hidangan RM5 biarpun berdepan kenaikan harga barang basah terutama ayam dan ikan.

**media[2078586]**

“Ada 15 menu pelbagai aneka lauk ayam,ikan dan sayur, pilih saja. Nasi campur di sini cuma RM5. Ada juga pelanggan yang tidak percaya RM5 sahaja.

“Kalau bercakap soal untung, saya percaya biarlah untung sikit walaupun cuma 50 sen tetapi jika sudah ramai yang datang, pasti ada rezeki. Mungkin sebab itu restoran ini dapat bertahan sehingga sekarang,” katanya.

Jelasnya, tiga orang anaknya turut membantu menyiapkan hidangan makan tengah hari setiap hari yang dijual bermula seawal jam 10.30 pagi.

“Setiap hari 30 ekor ayam dan 20 kilogram nasi dimasak untuk makan tengah hari yang akan licin pada jam 2 petang.

“Seronok dapat bantu orang ramai dan saya harap diberikan kesihatan untuk terus berniaga,” katanya.