Osama Abdel Hamid
SHAH ALAM – Usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye terhalang susulan keadaan cuaca sejuk.
Kini, kebanyakan keluarga kehilangan tempat tinggal hanya mampu berselimut dan berkumpul berdekatan unggun api untuk kekal hangat.
Memetik laporan news.sky, Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) berkata, satu lagi gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda negara itu pada tengah malam.
Di wilayah selatan Hatay, kedengaran suara wanita memanggil bantuan di bawah timbunan runtuhan berhampiran mayat kanak-kanak yang tidak bernyawa.
Sebanyak 1,500 bangunan juga dilaporkan telah musnah di bandar itu.
Seorang penduduk, Deniz memberitahu, mangsa yang terperangkap membuat bising untuk memaklumkan keberadaan mereka tetapi tiada siapa yang datang.
“Kami hancur, kami hancur. Tuhanku. Mereka berseru. Mangsa menjerit, ‘selamatkan kami,’ tetapi kita tidak dapat menyelamatkan mereka. Bagaimana cara kami dapat menyelamatkan mereka? Tiada sesiapa (penyelamat) sejak pagi,” katanya.
Di Kahramanmaras, utara Hatay pula, seorang lagi mangsa, Neset Guler berkata dia hampir gagal keluar dari rumah.
“Keadaan sekarang adalah bencana. Kami lapar dan dahaga. Ia amat menyedihkan,” katanya.
Sementara itu, mangsa, Osama Abdel Hamid berkata, pintu masuk runtuh sebaik sahaja dia, isteri dan tiga anak mereka tiba di bangunan tersebut.
“Kami terselamat apabila pintu kayu jatuh ke atas kami. Tiga anak saya mengalami luka di kepala dan muka, manakala anak perempuan saya selamat tanpa sebarang kecederaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, wartawan Sky News, John Sparks yang berada di Osmaniye, sebuah bandar di selatan Turki 150km dari pusat gempa bersama pasukannya turut merakam usaha menyelamat.
Katanya, pasukan penduduk tempatan dan pekerja kecemasan menjangkakan terdapat 15 mangsa di bawah runtuhan tetapi tidak dapat menemui mereka.
“Situasi sekarang amat emosional. Orang ramai di sini menunggu berita tentang orang tersayang dan rakan mereka yang kali terakhir melihat mangsa berada di dalam bangunan ini.
“Tidak dapat gambarkan bagaimana mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan itu boleh bertahan lama, terutamanya dalam suhu ini,” katanya.