Fuziah (kanan) ketika lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota pada Selasa.
KUANTAN – Kenaikan harga sayur di pasaran pada ketika ini perlu dipantau sepenuhnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFS), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.
Di pihak KPDN, beliau berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku kenaikan harga menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.
“Kalau babitkan kenaikan harga sayur ia berkaitan dengan MAFS, namun jika harga itu luar biasa, ia terjatuh (tertakluk) di bawah akta antipencatutan, yang itu di bawah kementerian (KPDN).
“Jadi, kalau harga luar biasa, dua perkara yang perlu dilihat iaitu pertama pengguna boleh tengok harga dekat menu itu dan kedua kalau mahal sangat, pengguna boleh buat aduan dan penguat kuasa kita akan buat siasatan,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota pada selasa.
Fuziah mengulas demikian ketika ditanya mengenai rungutan orang ramai susulan kenaikan harga sayur di pasaran sejak minggu lalu.
Harga beberapa jenis sayur berdaun dan buah meningkat antara dua hingga tiga kali ganda berbanding harga sebelum Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee sebelum ini dilaporkan berkata, hujan lebat berterusan menjejaskan ladang sayuran di Johor, Pahang dan Perak sekali gus menyebabkan harga bahan mentah itu melonjak lebih 100 peratus di kawasan terjejas.
Antara sayuran yang mencatatkan kenaikan termasuklah tomato, timun, kacang panjang dan bendi.
Harga tomato dan bendi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram (kg) kini melonjak kepada lebih RM10 per kg.
Begitu juga timun dan kacang panjang yang sebelum ini hanya RM4.50 per kg, namun ada kawasan bekalan terjejas menyebabkan harganya melonjak lebih RM10.
Ditanya mengenai kejadian banjir kilat yang melanda beberapa lokasi sejak Isnin, Fuziah menjelaskan, bekalan barangan keperluan asas tidak terjejas ketika ini.
Katanya, kejadian banjir sebenarnya memberi sedikit kesan kepada logistik.
“Kita sedang adakan perbincangan dengan pemegang taruh yang terlibat secara langsung dalam bidang logistik bagi mencari jalan menguruskan kos penghantaran terus terutamanya ketika banjir.
“Jadi kalau kita dapat kurangkan kos logistik, harga barangan ini akan dapat diturunkan dan sekali gus dapat membantu mengurangkan bebanan pengguna,” jelas beliau.