Lebihan zakat RM62 juta manfaatkan untuk pembangunan ummah

in Edisi by

Onn Hafiz (tengah) merakam kenangan bersama peserta pada Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri kali ke-12 di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri pada Selasa.Onn Hafiz (kiri) pada Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri kali ke-12 di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merekodkan lebihan zakat harta dan fitrah berjumlah RM61.524 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lebihan pungutan zakat itu akan segera disalurkan untuk pembangunan ummah.

“Ini termasuk pembangunan untuk projek-projek di bawah Jabatan Agama Islam berjumlah RM5.5 juta, pembangunan Sekolah Tahfiz Sains Antarabangsa (RM5 juta) dan Tabung Pembangunan Masjid di Johor (RM3 juta).

“Begitu juga bantuan 5,000 asnaf dengan bantuan RM1,000, sumbangan kepada nelayan RM875,300 dan sumbangan kepada 666,000 anak-anak yatim sebanyak RM300 seluruh negeri ini dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri Kali ke-12 di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity di sini pada Selasa.

Menurut Onn Hafiz, sebelum ini kerajaan negeri pernah memaklumkan elaun bulanan bagi Guru Al-Quran Am dan Khas akan dinaikkan RM50.

Katanya, elaun bulanan Guru Al-Quran Khas sebanyak RM50, daripada RM500 kepada RM550 manakala elaun bulanan Guru Al-Quran Am dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

**media[2084167]**

“Jumlah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1.039 juta setahun yang bakal memanfaatkan seramai 1,733 orang Guru Al-Quran,” katanya.

Sementara itu, MAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan membuat pungutan zakat harta dan fitrah RM367,656,000 sepanjang tahun lalu.

Menurut MAINJ, agihan zakat pula sebanyak RM306,131,863 dilakukan bagi tempoh berkenaan dan masih terdapat lebihan RM61,524,137.

“Secara keseluruhan pencapaian pungutan zakat meningkat sebanyak 9.9 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu RM333.4 juta.

“Sementara jumlah pembayar zakat harta juga meningkat sebanyak 6.5 peratus daripada 128,437 pembayar pada 2021 kepada 136,789 pembayar pada 2022,” menurut kenyataan berkenaan pada Selasa.

Menurut MAINJ, zakat pendapatan naik sebanyak 10.8 peratus daripada RM155.7 juta kepada RM172.6 juta dan zakat perniagaan pula meningkat daripada RM78.3 juta kepada RM91 juta (16.7 peratus).

Setelah diperhalusi dan diteliti, lebihan wang zakat pada 2022 akan diolah untuk beberapa perkara yang memberi manfaat kepada rakyat Johor antaranya Bantuan Ikhsan Asnaf Fakir yang memberi manfaat kepada 5,000 asnaf iaitu setiap seorang akan menerima RM1,000 dengan peruntukkan sebanyak RM5 juta.

MAINJ memberitahu, ia turut melibatkan sumbangan kepada nelayan Johor yang memberi manfaat kepada 8,755 nelayan dengan setiap seorang akan menerima RM300 dengan peruntukkan sebanyak RM2.6 juta dan sumbangan kepada anak yatim yang tinggal di luar asrama anak yatim melibatkan 6,666 orang dengan setiap seorang akan menerima RM300 dengan peruntukan RM2 juta.

“Keempat, sumbangan kepada penerima bantuan dialisis dengan peruntukan RM1.1 juta memberi manfaat kepada 3,925 pesakit. Kelima, sumbangan untuk gelandangan RM500,000 dan keenam, sumbangan kepada warga emas 80 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) RM500,000,” kata MAINJ.