Tular langgar peraturan, ADUN Bilut akan tampil ke balai polis

in Berita Semasa by

Laporan Sinar Harian pada Selasa.

BENTONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen mengesahkan telah menerima panggilan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bentong susulan gambar sebuah kenderaan dipercayai milik beliau menyalahi peraturan sebagaimana tular dalam Facebook Kami Penduduk Bentong (Official) pada Isnin.

Beliau memberitahu akan tampil ke balai polis dalam masa beberapa hari lagi berikutan masih terikat dengan beberapa tugasan rasmi dan pejabat.

“Jika saman dikeluarkan saya tidak akan membantah dan menerima serta membayar saman tersebut seperti rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam laporan Sinar Harian pada Selasa, Polis Bentong tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira status pihak terbabit.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata demikian susulan penularan gambar sebuah kenderaan dipercayai milik seorang wakil rakyat di negeri ini yang menyalahi peraturan pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bentong akan mengambil tindakan sewajarnya.