BAT Malaysia rekodkan keuntungan kasar RM678 juta

in Bisnes by

Nedal Salem

BRITISH American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) merekodkan kuntungan kasar berjumlah RM678 juta untuk tahun kewangan penuh 2022 yang berakhir Disember berbanding RM675 juta pada 2021.

BAT Malaysia berkata, syarikatnya mencatatkan peningkatan dalam margin keuntungan kasar sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya

Katanya, situasi itu didorong pemerolehan pendapatan berjumlah RM2.6 bilion dan keuntungan daripada operasi sebanyak RM407 juta.

“Untuk suku keempat berakhir 31 Disember, BAT Malaysia mencatat pendapatan RM771 juta, peningkatan 15.6 peratus berbanding suku sebelumnya. Keuntungan daripada operasi bagi suku berkenaan berjumlah RM100 juta berbanding RM116 juta pada suku sebelumnya

“Bahagian pasaran Kumpulan berada pada 51.6 peratus, peningkatan 0.1 peratus daripada suku sebelumnya, manakala volum meningkat sebanyak 12.4 peratus,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

BAT Malaysia berkata, bagi melaksanakan strategi untuk memudahkan portfolio, kumpulan itu menyaksikan penurunan yang dirancang dalam bahagian pasaran keseluruhan sebanyak 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu terutamanya disebabkan penyahsenaraian jenama Kent dan Pall Mall.

Menurutnya, volum tahunan menurun sebanyak 2.0 peratus berbanding 2021 di mana faedah ‘one off’ dalam volum diperhatikan semasa peralihan laluan pasaran.

“Selaras dengan aliran penurunan dagangan yang diperhatikan dalam pasaran, jenama nilai-untuk-wang (VFM) kumpulan, KYO dan Rothmans, menguasai tambahan 1.0 peratus bahagian pasaran.

“Walaupun penguncupan bahagian keseluruhan industri dalam segmen premium sebanyak 1.0 peratus pada tahun itu, jenama Dunhill memperoleh pertumbuhan 1.1 peratus bahagian dalam segmen ini, menunjukkan kedudukan kukuh jenama premium itu,” ujarnya.

Untuk keseluruhan tahun kewangan 2022, lembaga pengarah syarikat telah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 21 sen sesaham biasa, berjumlah RM60 juta yang perlu dibayar pada 7 Mac 2023 kepada pemegang saham.

Sementara itu, dalam kenyataan sama. Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, walaupun berdepan cabaran ekonomi, pihaknya optimis terhadap prospek syarikat untuk tahun ini.

“Dengan pelancaran produk pemanas tembakau kami, glo yang memasuki pasaran pada Februari 2023 kini mampu menawarkan pilihan alternatif dengan potensi risiko yang dikurangkan kepada perokok dewasa Malaysia. Ini selaras dengan komitmen kami terhadap menuju ‘A Better Tomorrow’.

“Kami juga didorong oleh misi Kerajaan baharu untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan asas negara.

“Ini sebahagiannya boleh dicapai melalui mengurangkan kebocoran yang berpunca daripada pasaran gelap tembakau dan mewujudkan aliran hasil baharu dengan melaksanakan percukaian untuk produk berisiko yang dikurangkan seperti vape, yang masih tidak dikawal.

“Dalam pembentangan Bajet November 2022, pelbagai langkah telah diumumkan untuk mengurangkan tahap pasaran gelap tembakau termasuk pengenalan dasar titik masuk tunggal di wilayah utara, kawalan dipertingkatkan di tempat pendaratan termasuk jeti persendirian dan skim ganjaran khas untuk penguatkuasaan bagi menghentikan aktiviti penyeludupan,” katanya.

Tegasnya, pihaknya amat menggalakkan kerajaan baharu untuk mengekalkan langkah berkenaan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada bulan ini, sambil turut meneroka sains dan peraturan berasaskan bukti untuk menjadikan pasaran vape sebagai pasaran yang sah.