Beberapa orang lama gagal buat kemunculan semula

in Politik by

Mohammad Sollehin terajui UMNO Bahagian Bukit Gantang selepas menang dalam saingan tiga penjuru pada Sabtu.Beberapa ‘orang lama’ yang pernah menerajui UMNO peringkat bahagian di negeri ini gagal membuat kemunculan semula apabila tewas dalam pemilihan parti di peringkat tersebut yang berlangsung pada Sabtu.Mohd Zolkafly mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput selepas menewaskan Mohd Husnuz Zaim.

IPOH – Beberapa ‘orang lama’ yang pernah menerajui UMNO peringkat bahagian di negeri ini gagal membuat kemunculan semula apabila tewas dalam pemilihan parti di peringkat tersebut yang berlangsung pada Sabtu.

Antara pemimpin tersebut termasuklah bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin yang tewas dalam pertembungan tiga penjuru, sekali gus menyaksikan teraju baharu diketuai Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Selain menewaskan Rosli, Mohammad Sollehin yang memperoleh 261 undi turut meninggalkan lawannya, Mohd Kamaruddin Abu Bakar yang pernah memangku jawatan berkenaan dengan memperoleh 236 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Mohammad Sollehin antara pemimpin pemuda yang berjaya memenangi jawatan tersebut pada pemilihan kali ini.

**media[2131686]**

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Shamsul Alias memenangi pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh 263 undi daripada perwakilan.

Nasib berlainan pula diterima bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Faridzul Azlan Abd Shani apabila percubaan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tambun tidak kesampaian selepas tewas kepada penyandangnya, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan ketua dan naib ketua UMNO bahagian berkenaan, masing-masing dimenangi Datuk Mazlan Abd Rahman dan Zakaria Mohamed.

Di Tapah pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah selepas dicabar Datuk Samsudin Abu Hasan yang pernah menggalas jawatan ketua UMNO bahagian itu.

**media[2131684]**

Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Ibrahim turut mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput selepas menewaskan Mohd Husnuz Zaim Mohd Padil.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz turut mempertahankan jawatannya dalam pertembungan dua penjuru selepas memperoleh 208 majoriti.

Begitu juga dengan Datuk Hang Tuah Din yang kekal menerajui UMNO Bahagian Gopeng menewaskan pencabarnya, Datuk Hamzah Kassim yang pernah menerajui UMNO bahagian berkenaan.

Pada pemilihan UMNO kali ini, beberapa bahagian di Perak menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan ketua UMNO bahagian iaitu bahagian Bagan Datuk, Lumut, Lenggong, Ipoh Timur, Ipoh Timor, Batu Gajah dan Padang Rengas.