PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

June 2023

Alif Satar, Faizal Tahir tunai haji bersama

in Semasa by
Alif Satar, Faizal Tahir tunai haji bersama

HASRAT penyanyi dan pengacara Alif Satar dan penyanyi Faizal Tahir untuk menunaikan ibadah haji bersama akhirnya tercapai apabila mereka kini sama-sama berada di Tanah Suci. Pernah merancang untuk lakukan umrah bersama namun tidak menjadi, namun Alif bersyukur akhirnya dia dan rakan baiknya itu dapat bersama-sama di Arafah. “Moment with my brother, Haji FT. Dari dulu, bersembang fasal nak buat umrah sama-sama tak pernah menjadi. Rupanya, kita cuma merancang tapi Dia lah sebaik-baik perancang. “Yang kelakarnya… trip ibadah haji ni, tak pernah bincang sama-sama pun and yet here we are on the day of Arafah naturally using the gift and rizq that Allah SWT has given us and use it on His path. “Making doa, praying and answering the call of Hajj. Since 2006, till now Hajj 2023. Allahuakhbar… will cherish this forever,” kongsi Alif menerusi laman Instagram miliknya. Dalam pada itu, Alif juga berkongsi pengalaman menunaikan haji dan keadaan cuaca ketika berada di Arafah. “Siapa yang ada pengalaman buat haji, memang dah tahu cuaca di Arafah macam mana. Kalau nak tahu macam mana rasa dia, masuk kereta waktu tengah hari, tapi jangan pasang air cond. “Darab 10 kali… Alhamdulillah Allah mudahkan. Moment talbiah captured by Haji Ironman @boysham,” kata Alif. Untuk info, selain Alif dan Faizal Tahir, ada beberapa selebriti lain turut menunaikan haji pada waktu yang sama iaitu Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Datuk Aliff Syukri dan Lisdawati. – Awani-Gempak
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

'Tak mustahil tembus 100 terbaik dunia'

in Semasa by
'Tak mustahil tembus 100 terbaik dunia'

SKUAD Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon terus menerbitkan petanda positif apabila memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berharap rentak positif itu dapat diteruskan, sekali gus meraih kedudukan lebih baik terutama untuk menembusi ranking 100 terbaik dunia dalam beberapa tahun akan datang. “Alhamdullilah… ia satu kebanggaan kepada pasukan bola sepak negara selepas kita dapat naik dalam kedudukan ranking dunia. Itu adalah apa yang dimahukan semua penyokong Harimau Malaya selama ini. “Namun, saya yakin kita dapat pergi lebih jauh daripada kedudukan sekarang ini. Saya percaya skuad negara mampu berada di ranking 100 terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi. “Lagipun, pasukan negara ini baru sahaja diperbaiki, bukan dah lama. Kenaikan demi kenaikan ini adalah satu bukti bahawa pasukan negara semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat. Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking FIFA yang dikeluarkan pada Khamis, Malaysia telah naik satu anak tangga dari kedudukan ke-138 ke posisi 137 dunia. Untuk rekod, pencapaian itu merupakan kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di tangga ke-127 dunia pada Mei 2006. Melalui semakan di laman sesawang FIFA, Harimau Malaya berjaya mengumpul 1091.57 mata keseluruhan, selepas mengutip 9.44 mata tambahan daripada kemenangan dalam aksi persahabatan baru-baru ini. Selepas menewaskan Kepulauan Solomon 4-1, Harimau Malaya berjaya merekodkan antara kemenangan terbesar dalam sejarah apabila membelasah Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Harimau Malaya tidak perlu risau apabila berdepan pasukan yang berada di rangking lebih baik pada perlawanan antarabangsa akan datang. “Kita ada Pestabola Merdeka dan beberapa aksi persahabatan selepas ini, mungkin sebelum Piala Asia tahun depan kita dapat lonjak lima atau 10 anak tangga dah kira baik. “Jangan takut kerana kita sudah ada sebuah pasukan yang kuat dan ramai pemain pelapis berkualiti yang boleh meneruskan rentak cemerlang ini. “Sebelum ini, kita lawan dengan pasukan yang lebih lemah atau setanding dengan kita. Sekarang kita telah bersedia untuk meraih kemenangan dengan pasukan yang lebih kuat,” ujarnya.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Blok ketiga: Muda bakal ulangi kegagalan Tun M, GTA?

in Semasa by
Blok ketiga: Muda bakal ulangi kegagalan Tun M, GTA?

MENJELANG detik pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, tumpuan pasti terarah kepada dua watak utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Namun dalam keterujaan perdebatan parti mana bakal mendominasi pentas PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor itu nanti, muncul pula watak ketiga iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). Penyertaan ‘berani mati’ Muda dilihat bukan sekadar opsyen kepada pengundi PRN tetapi juga mampu menjadi ‘duri dalam daging’ untuk PH susulan parti itu bersama dengan koalisi itu membentuk Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, ada yang mengatakan penyertaan Muda pada PRN enam negeri kelak boleh bertindak selaku blok ketiga yang bakal mengimbangi persaingan dua watak utama BN-PH dan PN serta mampu memberi opsyen tambahan kepada pengundi. * Baca berita selanjutnya di Sinar Premium.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Rindu terubat lihat tiga juta jemaah tunaikan haji musim ini

in Semasa by
Rindu terubat lihat tiga juta jemaah tunaikan haji musim ini

SHAH ALAM – Rasa rindu seorang mutawif haji untuk melihat Tanah Suci Makkah kembali dibanjiri jutaan umat Islam terubat pada musim haji kali ini apabila dapat menyaksikan sendiri lebih tiga juta jemaah menunaikan ibadah itu. Abdul Hadi Abdul Rahman berkata, jumlah jemaah yang mengerjakan ibadah berkenaan kali ini juga dianggarkan lebih ramai berbanding tahun 2018, sebelum pandemik Covid-19 menyerang. Abdul Hadi, 37, yang juga Pengarah MKM Ticketing Travel & Tours berkata, pada musim haji tahun lalu, jumlah jemaah sekitar satu juta orang sahaja. “Lepas merebaknya Covid-19, seperti yang kita tahu kuota jemaah dikurangkan jadi memang saya sangat rindu nak lihat jumlah jemaah yang ramai seperti sebelum berlakunya pandemik. “Ketika saya mengendalikan jemaah pada tahun 2017 dan 2018, jumlah jemaah lebih dua juta, jadi ketika ini saya dapat rasakan semula suasana seperti dulu,” katanya kepada Sinar Harian. Ditanya mengenai cabaran mengendalikan jemaah pada musim kali ini, Abdul Hadi yang bergelar mutawif haji dan umrah sejak tahun 2005 berkata, keadaan cuaca yang panas menjadi antara cabaran utama. “Tahun lepas cuaca pun panas tapi tahun ini panasnya lebih luar biasa, mencecah 44 hingga 47 darjah Celsius. “Jadi bagi elakkan kesihatan jemaah terganggu disebabkan cuaca panas, kami mutawif sentiasa ingatkan jemaah minum banyak air dan selalu basahkan kepala supaya tidak terkena strok haba,” ujarnya. Selain itu, menurut Abdul Hadi, semua mutawif juga sentiasa memantau untuk memastikan jemaah memakai penutup kepala sama ada kopiah, topi, serban atau apa-apa sahaja yang boleh mengelakkan jemaah terdedah dengan panas terik matahari. “Kami turut menyusun jadual sebaik mungkin bagi mengelakkan jemaah terdedah terus dengan cuaca yang sangat panas,” katanya. MKM Ticketing Travel & Tours yang berpejabat di Star Avenue Commersial Cente, Seksyen U5, Bandar Pinggiran Subang di sini, kali ini mengendalikan seramai 386 jemaah haji.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Isteri lemas, suami dan anak saudara hilang jatuh bot

in Semasa by
Isteri lemas, suami dan anak saudara hilang jatuh bot

KOTA BHARU – Seorang wanita lemas selepas terjatuh daripada bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu pada Jumaat. Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang. Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Nor Awadah Sulong, 30. ”Suami mangsa dikenali sebagai Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10. ”Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu, Wan Nur Ameena Wan Muhamad yang turut bersama selamat kerana dikatakan berpegang pada stereng bot,” katanya. Beliau memberitahu, kesemua mangsa dikatakan bersiar-siar di sungai itu dengan menaiki bot Wan Muhamad Najmi sebelum enjin bot mati secara tiba-tiba dan mereka terjatuh ke dalam sungai. Tambah beliau, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata, operasi selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan disambung semula pagi Sabtu. Katanya, operasi malam ini diteruskan dengan kerja-kerja menyelamat di kawasan permukaan sungai. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir di lokasi itu untuk bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa.
Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Dua lembu sado 'tumbang'

in Edisi Terengganu by

Salah seekor lembu yang disembelih sempena majlis korban perdana di Kampung Chendering Pantai di Kuala Terengganu pada Khamis.

KUALA TERENGGANU – Persepakatan yang dicapai dalam merealisasikan ibadah korban antara faktor ia berjaya dilaksanakan hampir saban tahun di Kampung Chendering Pantai, di sini.

Setiausaha Masjid Alfurqan, Zaidi Aziz berkata, 22 ekor lembu termasuk dua ekor lembu sado disembelih sempena majlis korban perdana yang dianjurkan bersama penduduk setempat pada Khamis.

“Hampir tujuh tahun kita telah melaksanakan ibadah korban perdana seperti ini di lokasi yang sama.

“Untuk program kali ini, daging-daging yang siap dilapah diagihkan kepada seramai 250 keluarga dalam kalangan penduduk di sini.

“Kita juga turut mengagihkan daging kepada penduduk sekitar seperti di Kampung Pantai Pandak, Batu Enam, Kampung Aur dan Balai Polis Chendering,” ujarnya.

Beliau berkata, program itu memberi impak yang besar khususnya kepada penduduk kerana dapat memupuk semangat kerjasama dan saling tolong – menolong.

“Kita harap dengan semangat yang tinggi, aktiviti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, “ujarnya.

[VIDEO] 'Arwah tidak banyak bercakap seperti biasa'

in Edisi Johor by

Jasni menyiram air di pusara Allahyarham Muhammad Zaihan di Tanah Perkuburan Islam (Tinggi), Kampung Ladang, Iskandar Puteri pada Jumaat.

ISKANDAR PUTERI – “Saya perasan dia tak banyak cakap sejak dua tiga hari ni, biasanya taklah macam tu.”

Demikian menurut Nur Syafiqah Mohd Yazid, 28, iaitu kakak ipar kepada Allahyarham Muhammad Zaihan Jasni, 17, yang maut dipanah petir ketika menjala ketam bersama bapanya, Jasni Mohd Ali, ketika menaiki bot milik sendiri, berhampiran Pulau Merambong pada Jumaat.

Nur Syafiqah memberitahu menyedari mengenai kejadian sebaik tiba di jeti.

“Sebenarnya, saya pun turut ikut ke laut tapi menaiki bot lain bersama suami, tapi kami pulang kemudian sebab pergi melihat jala ke atas (lokasi), lagi.

“Saya dapat tahu pun pasal kemalangan yang berlaku bila sampai ke jeti,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya yang berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Jasni memberitahu bahawa dia tidak mendapati sebarang perubahan pada anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurut Jasni, aktiviti menjala tersebut sememangnya menjadi rutin harian bersama anaknya itu yang sudah tidak bersekolah lagi berikutan kekangan kewangan yang dialami ketika ini.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka bahawa itulah kali terakhir dia melakukan aktiviti tersebut bersama mangsa.

“Masa tu, dia (Muhammad Zaihan) nak angkat jaring yang dah pasang sejak sebelum raya hari tu.

“Hujan taklah berapa lebat tapi tiba-tiba kilat ‘kena’ dia, saya pun kena juga tapi sikit dan tercampak ke belakang bot (sampan).

“Kemudian saya tengok anak saya rebah tidak sedarkan diri dan ada kesan melecur di kaki dia. Bot pecah (berlubang) tempat dia berdiri tu sebab kilat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (Tinggi), Kampung Ladang di sini selepas waktu Asar pada Jumaat.

Objek disyaki bom mortar ditemui di Padang Polo

in Edisi Perak by
Objek disyaki bom mortar ditemui di Padang Polo

Polis jalankan siasatan terhadap objek yang dipercayai bom mortar di Padang Polo, Ipoh pada Jumaat. – Foto ihsan polis

IPOH – [DIKEMAS KINI] Satu objek menyerupai bom mortar dijumpai di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, objek itu ditemui orang awam di tepi kolam kawasan berkenaan sekitar jam 3 petang.

“Langkah awal telah diambil dengan memasang pita kuning PDRM dan mengawal orang ramai supaya tidak mendekati lokasi kejadian.

“Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kini telah tiba di lokasi kejadian untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas objek yang disyaki bom mortar itu.

Sementara itu, objek menyerupai bom mortar yang ditemukan itu disahkan tidak mengandungi bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, bom mortar berkenaan digunakan untuk latihan.

“Pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Bom mortar berukuran panjang 300 milimeter (mm) dan lebar 60mm itu dibawa ke Bahagian Persenjataan IPK Perak untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut beliau, siasatan akan dilakukan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh berada di lokasi kejadian termasuk berhubung dengan agensi pertahanan.

1 2 3 560
Kembali UTAMA